SDurian World mencatat satu lagi kejayaan membanggakan apabila berjaya menganjurkan “Pesta Durian Terbesar dengan Penyertaan Teramai” yang menyaksikan kehadiran seramai 1,188 pengunjung di One World Hotel, sekali gus melayakkan syarikat itu disenaraikan dalam Malaysia Book of Records.
Lebih membanggakan, acara penuh kemeriahan itu turut menarik perhatian pelancong dan peminat durian dari lebih 10 buah negara, termasuk China, Hong Kong, Amerika Syarikat dan Australia, menjadikannya satu manifestasi nyata terhadap daya tarikan global Musang King, raja buah tempatan yang menjadi kebanggaan negara.
Ketua Pegawai Eksekutif SDurian World, Encik David Hew berkata, penganjuran pesta tersebut membuktikan potensi durian Malaysia untuk terus mengukuhkan kedudukannya di peringkat antarabangsa.
“Sambutan hari ini benar-benar luar biasa. Kehadiran bukan sahaja daripada rakyat tempatan, malah peminat durian dari seluruh dunia turut hadir untuk menikmati keunikan Musang King,” katanya.
Beliau turut menzahirkan penghargaan terhadap kerjasama erat pihak hotel yang menyumbang kepada kelancaran acara berskala besar itu.
Menurut David, SDurian kini berada pada landasan kukuh untuk muncul sebagai pengeluar Musang King terbanyak di dunia, seiring dengan strategi pengembangan syarikat termasuk pembukaan outlet jenama seperti ‘Twenty Four’ dan ‘One One’ yang menjadi sebahagian daripada pelan penjenamaan dan pengedaran produk.
Lebih daripada sekadar penganjur pesta durian terbesar, SDurian turut muncul sebagai peneraju dalam pelaburan pertanian berimpak tinggi apabila membuka peluang kepada rakyat Malaysia untuk menyertai pelaburan strategik dalam sektor durian premium.
Dengan ladang seluas 2,000 ekar di Lojing Highlands, Gua Musang, syarikat itu kini mempunyai lebih 10,000 pokok Musang King dan menyasarkan pertambahan kepada 100,000 pokok menjelang tahun hadapan.
Apa yang lebih mengagumkan, operasi ladang tersebut dijalankan tanpa sebarang cagaran atau hutang dengan mana-mana pihak ketiga, menjadikannya antara model pelaburan pertanian paling mampan dan bebas risiko di negara ini.
Durian keluaran SDurian juga telah menembusi pasaran eksport ke China sejak lebih tiga tahun lalu, menjadikan syarikat itu antara pemain utama dalam industri durian global.
“Harapan saya, satu hari nanti SDurian mampu mencatat satu lagi sejarah dengan menjadikan Malaysia sebagai pengeluar durian Musang King dari ladang terbesar dunia,” ujar David penuh optimis.

