Tragedi Clipperton, pulau sunyi yang menyimpan kisah ‘raja gila’ di lautan Pasifik

Dari Penulis

Pada pertengahan tahun 1917, sebuah kapal tentera Amerika sedang meronda di bahagian timur Lautan Pasifik. Tujuannya untuk mengesan kapal-kapal Jerman yang dikatakan sering kelihatan di perairan tersebut.

Dalam pelayaran itu, mereka lalu berdekatan pulau Clipperton dan nampak seperti ada sesuatu di situ. Namun, mereka gagal mendekati pulau tersebut kerana ombak kuat, selain dikelilingi batu-batu besar dan tajam.

Kedudukan Pulau Clipperton.

Kapal itu berpatah balik. Namun sebenarnya mereka merancang percubaan kali kedua untuk mendarat di pulau tersebut. Ia berjaya. Sebaik menjejakkan kaki di pulau itu, kapten dan kelasi kapal terkejut melihat apa yang mereka temui.

Hanya beberapa wanita dan kanak-kanak yang fizikal mereka kurus kering ditemui di situ. Juga satu mayat lelaki dalam keadaan mengerikan bermandi darah.

Siapa wanita dan kanak-kanak di pulau tandus itu? Mana lelaki lain? Siapa pula mayat lelaki itu? Penemuan penduduk pulau Clipperton ini membongkar satu kisah kejam yang sudah bertahun terpendam di situ. Ini kisahnya…

Pulau Kaya ‘Najis’

Pulau Clipperton berada di tengah Lautan Pasifik, kira-kira 1,120 kilometer dari pantai barat Mexico. Ia hanya sebuah pulau kecil seluas enam kilometer persegi yang dipenuhi batu karang.

Pulau ini pernah menjadi rebutan empat negara – Perancis, Amerika, Britain dan Mexico satu ketika dahulu. Ia bukan tempat yang sesuai untuk dihuni. Sekelilingnya dilitupi batu. Tanahnya berasid. Tiada bekalan air tawar. Tumbuhan yang hidup pun hanya pokok kelapa. Perairannya pula dipenuhi jerung.

Pulau Clipperton bukan tempat sesuai didiami manusia.

Nama Clipperton diambil sempena nama seorang lanun British yang menemui pulau ini, walaupun Perancis mendakwa mereka yang terlebih dahulu menemui pulau ini pada tahun 1858.

Pada penghujung abad ke-19 dan awal abad ke-20, Clipperton menarik perhatian kerana sumber aslinya – guano. Ia adalah najis daripada kelawar, burung laut dan anjing laut yang dijadikan sebagai baja.

Tahun 1892, Amerika merampas pulau tersebut apabila berminat dengan hasil baja asli Clipperton. Namun, penguasaan mereka tidak lama. Hanya beberapa tahun kerana tidak mampu menanggung kos pengangkutan yang mahal, ditambah pasaran yang lemah.

Lalu, Mexico merampas semula Clipperton kerana bagi mereka, pulau itu paling hampir dengan Mexico. Sebuah rumah api turut dibina di situ sebagai tanda kedaulatan rasmi Mexico dan untuk memantau kegiatan guano di situ.

Rumah api yang pernah dibina oleh Mexico di pulau ini.

Pada tahun 1906, Mexico menghantar sekumpulan tenteranya bersama ahli keluarga mereka untuk menetap di pulau tersebut. Pasukan tentera ini diketuai oleh Kapten Ramon Arnaud.

Sewaktu aktiviti perlombongan guano rancak dijalankan, ada lebih kurang 100 penduduk menghuni pulau Clipperton. Waktu itu, setiap dua bulan sekali, akan datang sebuah kapal ke pulau itu menghantar bekalan makanan dan ubat-ubatan.

Terputus Hubungan

Keadaan mula berubah apabila Revolusi Mexico meletus pada tahun 1910. Disebabkan kacau bilau yang berlaku, komunikasi dan bekalan makanan dari tanah besar terhenti ke pulau ini.

Keberadaan penghuni di Clipperton seakan dilupakan. Tiada lagi kapal yang kunjung tiba membawa bekalan. Tanaman kebun yang pernah diusahakan sebelum itu pula menemui kegagalan. Mungkin kerana faktor geografi pulau tersebut menyukarkan tanaman untuk hidup subur.

Dari tahun ke tahun, penghuni Clipperton terputus hubungan sepenuhnya dengan dunia luar. Kebuluran dan penyakit mula melanda. Beberapa penduduk cuba meninggalkan pulau menggunakan rakit tetapi tidak pernah kembali.

Bulan demi bulan berlalu. Penderitaan kian melarat. Bekalan makanan tiada, begitu juga ubat-ubatan. Burung, ketam dan kelapa jadi pengalas perut. Sesekali mereka dapat makan ikan. Bukan mudah turun ke laut yang dipenuhi jerung.  Akhirnya satu persatu daripada mereka hilang nyawa kerana penyakit dan kekurangan zat makanan.

Seorang demi seorang lelaki dewasa juga akhirnya mati, termasuk Kapten Ramon. Akhirnya yang tinggal di situ hanyalah golongan wanita dan kanak-kanak sahaja.

Munculnya ‘raja’ psikopat

Suatu hari, ribut taufan melanda pulau itu. Kaum wanita dan kanak-kanak berlindung di bahagian bawah tanah. Setelah ribut reda, paginya mereka keluar melihat keadaan. Tambah perit apabila rumah-rumah mereka banyak roboh. Kelengkapan yang tidak seberapa hancur.

Ketika inilah tiba-tiba muncul seorang lelaki di depan mereka. Lelaki itu mengumpulkan semua sisa senjata yang ada dan membuangnya ke laut, kecuali selaras senapang untuk kegunaan dirinya sahaja.

Siapa lelaki itu?

Dia adalah Victoriano Alvarez, penjaga rumah api yang tidak pernah diketahui kewujudannya oleh kelompok askar pimpinan Kapten Ramond di pulau tersebut. Ini kerana Alvarez terlebih dahulu datang ke Clipperton kerana ditugaskan menjaga rumah api tersebut. Dan dia tidak pernah memunculkan diri di khalayak sehinggalah pada pagi itu.

Sangkaan kaum wanita itu dengan kemunculan Alvarez boleh membantu mereka ternyata meleset jauh. Sebaliknya, malang mereka bertimpa-timpa.

Apabila tiada lagi pegawai atasan atau struktur ketenteraan rasmi, Álvarez mengambil alih kuasa. Alvarez mengisytiharkan dirinya sebagai Raja Clipperton. Dengan senjatanya, dia mengancam mereka semua agar tunduk mengikut segala arahannya.

Lebih gila, Alvarez menggunakan kekuasaannya untuk memperkosa dan memperhambakan wanita yang terselamat, termasuk gadis bawah umur. Dia dikatakan akan menyiksa dan membunuh sesiapa yang membantah arahannya. Tiada siapa yang mampu melawan kudratnya kerana hanya Alvarez satu-satunya lelaki yang masih ada di pulau itu.

Lebih setahun, hidup kaum wanita di situ bagaikan dalam neraka. Mereka tidak berani melawan. Namun pada pertengahan tahun 1917, sekumpulan wanita yang sudah tidak sanggup menanggung kekejaman Álvarez merancang untuk membunuhnya.

Menggunakan tukul dan kapak, mereka menyerang Alvarez sewaktu lelaki itu sedang leka memanggang burung. Sebaik Alvarez rebah, mereka memukul bertubi-tubi tubuh lelaki psikopat itu, melepaskan segala dendam dan kemarahan yang terpendam. Mereka mengelar dan merodok tubuh Alvarez hingga wajah dan tubuhnya hancur berlumuran darah. Berakhirlah riwayat raja gila di Clipperton.

Tidak lama kemudian, kapal perang Amerika Syarikat yang sedang membuat rondaan di kawasan Pasifik tiba di pulau tersebut. Daripada kira-kira 100 penduduk asal, hanya 11 orang terselamat, tiga wanita dan selebihnya kanak-kanak.

Mereka dibawa pulang ke Mexico, lalu diberi rawatan dan akhirnya kembali ke tanah besar sebagai saksi kepada tragedi yang selama ini tidak diketahui umum.

Wanita dan kanak-kanak yang diselamatkan dari Pulau Clipperton.

Daripada wanita yang terselamat itulah terbongkarnya kisah hitam di pulau tersebut. Cerita itu diperturunkan kepada anak cucu mereka, sehingga diketahui oleh penduduk pantai barat Mexico, bagaimana pernah muncul seorang Raja Clipperton yang gila, namun akhirnya berjaya dibunuh.

NOTA : Pulau Clipperton kemudiannya ditinggalkan dan dibiarkan tidak berpenghuni. Pada tahun 1931, Mahkamah Timbang Tara Antarabangsa menyerahkan pemilikan pulau itu kepada Perancis, yang memegangnya hingga kini sebagai wilayah luar negara. Namun, tiada penempatan tetap didirikan di pulau itu. Clipperton hanya dikunjungi sekali-sekala oleh saintis, tentera laut atau untuk ekspedisi penyelidikan.

____

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

Kecoh dakwaan Kuil Ular jadi tempat memohon hajat orang Islam, Malar dedah cerita sebenar

Isu berkaitan sebuah rumah ibadat yang dikenali sebagai Kuil Ular kembali menjadi perbualan di media sosial. Sebelum ini, Mastika mendapat...

More Articles Like This