Selepas lalui hidup penuh warna, Salamiah Hassan kini pilih untuk tenang & bersedekah

Anna Mohamed
Anna Mohamed
Penulis merupakan Pengarang URTV di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lebih 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital. Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal lain sejak tahun 2014. Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan indsutri seni hiburan dalam dan luar negara.

Dari Penulis

PERJALANAN hidup penyanyi emas, Salamiah Hassan,74, bukan sekadar dipenuhi nostalgia seni dan kejayaan, tetapi turut sarat dengan kisah pengorbanan, kehilangan serta pencarian makna yang sebenar tentang kebahagiaan.

Dalam satu sesi healing bersama pakar pembangunan diri, Dr. Hisham Dzakiria yang berlangsung di Ascott Kuala Lumpur minggu lalu, Salamiah tampil tenang dan ceria menggambarkan satu sisi dirinya yang mungkin jarang dilihat khalayak.

Sesi tersebut menjadi ruang terbuka buat beliau meluahkan isi hati, berkongsi detik-detik paling peribadi serta bagaimana beliau membina semula dirinya selepas melalui pelbagai cabaran hidup.

“Saya dah lalui semua. Sekarang ni saya cuma nak buat yang terbaik. Bukan untuk siapa-siapa, tapi untuk diri sendiri, keluarga dan untuk jumpa suami di jannah,” katanya.

Apa yang lebih menyentuh hati, apabila di buat pertama kali berkongsi mengenai hubungannya selama 20 tahun bersama seorang lelaki yang akhirnya meninggal dunia akibat kanser tahap empat ketika pandemik.

Hubungan yang dirahsiakan daripada anak-anak dan keluarga itu hanya didedahkan apabila Salamiah benar-benar yakin dengan perasaannya.

“Saya sendiri simpan rahsia itu lama. Sampai anak-anak pun tak tahu. Bila saya pasti dengan apa yang saya rasa, barulah saya beritahu mereka. Mereka semua terkejut,” ujarnya.

Malah, Salamiah tanpa berselindung mengakui bahawa antara soalan pertama anak lelakinya iala “Apa bukti mama kenal dia?”.

Namun baginya, bukti cinta itu bukan sekadar apa yang boleh dilihat mata. Ia tentang pesan-pesan yang ditinggalkan, yang kini menjadi bekal kekuatan dalam hidupnya.

“Dia selalu pesan, ‘jadi apa yang you nak jadi dalam hidup’.

“Sampai sekarang saya ingat. Itu yang buat saya terus nak jadi lebih baik,” katanya.

Dalam sesi bersama Dr. Hisham, Salamiah dibimbing melalui teknik visualisasi dan latihan pernafasan mendalam untuk melihat dan merasai perubahan diri daripada siapa dirinya hari ini, siapa dirinya yang dulu, dan siapa dirinya yang ingin dicapai pada masa depan.

Ia bukan proses hipnosis, sebaliknya pendekatan psikologi lembut berteraskan NLP (Neuro-Linguistic Programming).

“Manusia ni penuh dengan corak (pattern). Kalau nak berubah, kita kena tahu pattern mana yang rosakkan kita. 

“Dan kena tukar dengan pattern yang bantu kita jadi lebih baik,” jelas Dr.Hisham ketika membantu Salamiah memusatkan fokus dan mencipta ‘hologram diri’ yang membuka ruang untuk dia melihat potensi dirinya dalam bentuk fizikal dan emosi.

Salamiah juga berkongsi bahawa dia kini lebih mementingkan ketenangan dalaman berbanding perhatian luaran.

Banyak koleksi pakaian mewah dalam almarinya telah disedekahkan kepada saudara-mara, dan sebahagian lagi kepada mereka yang bukan beragama Islam.

“Dulu saya suka beli baju. Sekarang saya bagi pada orang. Yang tak ada lengan saya bagi pada mereka yang bukan Islam, yang berlengan saya beri pada anak-anak saudara. 

Saya rasa ringan bila saya lepaskan,” ujarnya.

Namun di sebalik kekuatan yang ditunjukkan, Salamiah mengakui bahawa dia juga pernah lelah, pernah menangis dan pernah hilang kepercayaan terhadap orang sekeliling.

“Saya susah nak percaya orang. Bila kawan kongsi masalah, saya simpan. Tapi bila tiba giliran saya, saya tak tahu nak cerita pada siapa. 

“Tapi saya belajar satu perkara. Menangis itu bukan lemah. Menangis tu sebenarnya tanda kita dah mula healing,” katanya.

Setiap kali solat, dia pasti akan menitiskan air mata teringatkan arwah suami yang pergi pada hari Jumaat, satu pemergian yang di anggap penuh keberkatan.

“Saya bersyukur, dia pergi pada hari yang baik. Itu orang baik,” ucapnya, tenang.

Sesi hampir sejam itu diakhiri dengan satu kesimpulan bermakna bahawa untuk menjadi insan yang lebih baik, seseorang itu perlu mengenal dirinya dahulu.

Ketenangan bukan datang dari luar, tetapi bermula dari dalam hati. Dan untuk memberi kepada orang lain, kita perlu cukup dahulu dari dalam.

“Saya nak sihat, saya nak tenang, saya nak gembira. 

“Kalau orang cakap pasal saya pun, saya tetap senyum. Sebab itu pahala saya,” akhirinya.


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

Fajar Noor buka lembaran baharu, Sementara, Selamanya jadi manifestasi kematangan emosi

SETELAH sekian lama dinanti, penyanyi yang sinonim dengan naskhah muzik yang menyentuh jiwa, Fajar Noor akhirnya kembali mengubat rindu...

More Articles Like This