Wawa Global Sdn. Bhd., syarikat yang diasaskan oleh pasangan selebriti terkenal Wawa Zainal dan Aeril Zafrel melakar sejarah baharu dalam industri kecantikan tempatan dengan pelancaran rasmi tiga produk pelindung matahari (sunscreen) terbaru berserta logo baharu syarikat, dalam sebuah acara gilang-gemilang yang menandakan permulaan kepada “Chapter Baru” buat jenama Wawa.
Acara ini bertujuan untuk memperkenalkan tiga pelindung matahari baharu yang diformulasi khusus untuk lelaki dan wanita, terutamanya mereka yang aktif bersukan. Produk baharu ini hadir dengan formula mineral terkini yang lebih selamat dan mesra kulit, seiring dengan komitmen Wawa untuk menyediakan produk kosmetik yang berkualiti tinggi, halal, dan selamat digunakan oleh semua.
Sejak mula dipasarkan, Sunscreen Wawa telah mencatat jualan lebih daripada 4 juta unit, sekaligus membuktikan kepercayaan pengguna terhadap kualiti produknya. Namun, Wawa meluahkan rasa kecewa terhadap sesetengah pihak yang mempertikaikan kejayaan produknya denganmenyatakan pelanggan hanya membeli kerana faktor populariti.

Menurutnya, jenama Wawa Cosmetics telah bertapak kukuh selama lebih tujuh tahun dan mempunyai kumpulan pengguna setia yang menghargai keberkesanan produknya.
Langkah penjenamaan semula dan pembaharuan pembungkusan ini bukan sahaja bertujuan menambah baik penampilan produk, tetapi juga sebagai usaha serius dalam membanteras penyebaran produk tiruan yang semakin berleluasa di pasaran. Identiti baharu yang diperkenalkan membawa imej yang lebih elegan, profesional dan penuh keyakinan.
“Kami di Wawa Global sangat komited dalam usaha penyelidikan dan pembangunan (R&D) untuk menghasilkan produk yang memenuhi kehendak pengguna masa kini.
“Kami percaya produk yang selamat, halal dan berkualiti tinggi adalah asas kejayaan yang mampan. Saya berharap jenama ini kana terus berkembang dan mampu bersing di peringkat global dalam masa terdekat,” katanya.

Tambah Wawa, pihaknya membuat penjenamaan semula logo sebagai sebahagian daripada trend semasa agar sentiasa terlihat baharu.
“Kami buat keputusan untuk tukar logo sebab sekarang ini tengah trend logo yang bermotifkan bunga. Saya rasa ini adalah pilihan tepat memandangkan Wawa Cosmetics perlu ada sedikit perubahan dari segi corak.
“Selain itu, kita juga membuat perubahan ini disebabkan banyak produk tiruan yang menciplak produk kami. Sudahlah di jual dengan harga yang jauh lebih murah, kemudian bahan-bahan yang digunakan kita tak tahu adakah dibenarkan atau sebaliknya.

“Kami tak mahu pengguna tersilap membeli dan pada akhirnya kami yang menanggung risiko dan kerugian. Harapnya dengan penjenamaan semula kali ini, tak ada lagi isu produk tiruan,” ujarnya.
Barisan hadapan yang turut hadir dan memainkan peranan penting dalam perjalanan jenama Wawa termasuklah pengasas bersama Wawa iaitu Aeril Zafrel, serta pempengaruh Umisya Mazlan, Aslam, dan tetamu kehormat Syed Saddiq.

Kehadiran mereka memeriahkan acara dan menjadi simbol komitmen berterusan dalam membina jenama tempatan yang mampu
berdiri di persada dunia.

Penulis merupakan Pengarang URTV di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lebih 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal lain sejak tahun 2014.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan indsutri seni hiburan dalam dan luar negara.

