BAKAT muda yang kian mengukir nama dalam industri, Zarif Ghazzi berdepan dengan pelbagai dugaan setiap kali mahu memulakan penggambaran.
Zarif atau nama lengkapnya Zarif Farahi Effie Ghazzi,21, berkata, ujian yang dilalui itu pula ‘menyerang’ kesihatan tubuh badannya sehingga memaksa dirinya mendapatkan rawatan di klinik.
“Hari ini bila bangun dari tidur, tiba-tiba mata saya gatal-gatal dan merah. Saya sudah dapatkan rawatan di klinik sebanyak dua kali.
“Doktor beritahu saya mata saya ada jangkitan kuman. Kebetulan, esok saya akan memulakan penggambaran drama baharu,” katanya kepada URTV ketika ditemui di sidang media drama terbitan VIU Malaysia dengan kerjasama Abang Imam Minah Skuter di Petaling Jaya, semalam.

Tambah Zarif, dia akui mula berasa tidak sedap hati dan pelik dengan kejadian tersebut.
Namun, pada masa sama, bintang drama Abang Imam Minah Skuter itu menafikan ia ada kaitan dengan penyakit ain.
“Sejujurnya saya pelik dan hairan sebab kerap sangat berlaku insiden yang sama.
“Dulu ketika di set drama Abang Imam Minah Skuter, hidung saya berdarah secara tiba-tiba pada hari pertama penggambaran.
“Adakalanya saya juga diserang demam tapi alhamdulillah semuanya terkawal dan saya berjaya habiskan penggambaran.
“Saya tak pernah dapatkan rawatan dengan perawat Islam. Tak pernah terfikir. Selama ini kalau sakit, saya akan pergi ke klinik atau hospital,” ujarnya.
Dalam pada itu, Zarif sebolehnya enggan mengaitkan masalah kesihatan yang dihadapinya itu dengan unsur mistik
“Pada saya, Allah tidak akan uji hambanya kalau dia tahu kita tak mampu hadap. Ini adalah ujian untuk saya tapi ia tak sedikit pun menjatuhkan semangat sebagai anak seni.
“Saya tak mahu kaitkan dengan hal mistik atau penyakit dengki (penyakit ain). Saya tak pernah rasa hal itu akan terjadi pada saya.
“Saya hanya perlukan doa daripada keluarga, peminat yang menyokong serta orang sekeliling saya untuk terus menabur bakti dalam industri seni tanah air,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Zarif diberi tanggungjawab membawakan watak Zarul menerusi drama Abang Imam Minah Skuter arahan Helmi Yusof.
“Ini merupakan drama pertama saya yang diberi peranan sebagai watak utama.
“Syukur alhamdulillah pihak produksi dan Viu nampak bakat saya. Saya amat berterima kasih kepada semua pihak yang menjayakan drama ini.
“Kalau ada sesiapa yang mungkin kata saya baharu dalam industri tapi dah dapat bawa watak utama, saya tak boleh nak halang untuk mereka bercakap.
“Saya anggap ini rezeki saya dalam bidang lakonan. Saya jadikan kritikan sebagai pemangkin atau pembakar semangat untuk buat yang terbaik selepas ini,” ulasnya.
Selain Zarif, drama terbitan Viu dengan kerjasama Zeel Production itu turut dibintangi oleh Zulin Aziz, Sharifah Rose, Marc Sadique, Amir Haikal, Usop Wilcha, Man Raja Lawak, Khai Bahar dan Kazar Saisi.
Naskhah tersebut mula ditayangkan secara eksklusif di platform Viu bermula hari ini.

Penulis merupakan Pengarang URTV di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lebih 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal lain sejak tahun 2014.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan indsutri seni hiburan dalam dan luar negara.

