PENYANYI Syamel kembali mempertaruhkan kekuatan vokalnya menerusi sebuah lagu balada terbaharu berjudul Berakhir Kita, ciptaan Shazriq Azeman dan Omar K, yang turut bertindak selaku penerbit lagu ini.
Berakhir Kita merupakan kerjasama antara Universal Music Malaysia, Maison Management, dan Global Keynote Sdn. Bhd.
Lagu ini mengangkat tema cinta yang tidak kesampaian. Ia adalah sebuah balada emosi yang merungkai perasaan pilu apabila sebuah hubungan terhenti sebelum sempat bermula.
Kisah lagu tersebut menggambarkan peritnya melihat harapan cinta yang sepatutnya menjadi milik kita, musnah di depan mata, mewakili suara mereka yang pernah mengalami kekecewaan dalam cinta yang tidak berpenghujung.

Menurut Syamel, kolaborasi bersama Omar K dan Shazriq merupakan satu pengalaman yang cukup menyenangkan.
“Mereka sentiasa memberikan tenaga yang positif dan kebebasan untuk saya mengolah lagu ini mengikut keselesaan nyanyian saya. Itu membuatkan proses rakaman menjadi lebih selesa dan bermakna,” jelas Syamel.
Lagu ini turut dilengkapi dengan paparan visual yang akan disatukan bersama sebuah drama bersiri yang bakal ditayangkan.
Bagi Syamel, elemen visual tersebut mampu memperkukuh emosi dan jalan cerita lagu ini.
“Hayatilah lirik dan melodi lagu ini yang, bagi saya, cukup sedih dan menyayat hati.
“Ditambah pula dengan babak-babak dalam drama tersebut, saya percaya ia akan memberikan impak yang lebih mendalam kepada para pendengar,” tambahnya.
Proses penghasilan Berakhir Kita turut mendapat sokongan padu daripada semua pihak yang terlibat.
Gabungan usaha serta komitmen pasukan produksi menjadikan lagu ini lahir dengan penuh jiwa dan keikhlasan.
“Ramai individu telah memainkan peranan dalam menjayakan lagu ini. Semua bergerak seiring dan memberikan kerjasama yang amat positif sepanjang proses penghasilan,” katanya.
Syamel turut menyatakan harapannya agar Berakhir Kita mampu menyentuh hati para pendengar dan menjadi lagu yang dekat dengan kehidupan serta pengalaman peribadi mereka.
“Saya berharap lagu ini akan melekat di hati pendengar, dan mereka dapat mengaitkannya dengan kisah hidup mereka sendiri,” ujarnya.
Berakhir Kita kini boleh distrim di semua platform penstriman digital bermula 6 Ogos 2025.

Penulis merupakan Pengarang URTV di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lebih 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal lain sejak tahun 2014.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan indsutri seni hiburan dalam dan luar negara.

