Suasana Raya Ernie Zakri & Syamel bawa nafas baharu, visual megah dirakam di kota Hong Kong

Anna Mohamed
Anna Mohamed
Penulis merupakan Pengarang URTV di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lebih 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital. Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal lain sejak tahun 2014. Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan indsutri seni hiburan dalam dan luar negara.

Dari Penulis

PASANGAN penyanyi Ernie Zakri dan Syamel kembali menyatukan sinergi kreatif mereka menerusi pelancaran single raya terbaharu berjudul Suasana Raya.

Naskhah ini bukan sekadar sebuah lagu perayaan biasa, sebaliknya ia merupakan satu kolaborasi strategik antarabangsa bersama Lembaga Pelancongan Hong Kong (Hong Kong Tourism Board).

Menerusi naskhah ini, pendengar disajikan dengan gabungan melodi klasik yang malar segar serta lirik yang menyentuh jiwa.

Keserasian vokal pasangan suami isteri ini berjaya merakamkan keindahan pagi Syawal yang penuh dengan ketenangan, kesyukuran, dan nilai kebersamaan keluarga yang tidak ternilai.

Apa yang membezakan Suasana Raya dengan karya-karya sebelumnya adalah visual muzik videonya (MV) yang dirakamkan sepenuhnya di lokasi-lokasi ikonik sekitar Hong Kong.

Penggambaran tersebut bukan sahaja mempamerkan kemodenan kota metropolitan itu, malah menonjolkan sisi mesra Muslim yang mungkin jarang diketahui umum.

Ernie menyifatkan pemilihan Hong Kong sebagai latar belakang video muzik mereka sebagai satu keputusan yang tepat kerana kemudahan infrastruktur dan pilihan makanan halal yang luas.

“Hong Kong sangat sesuai kerana ia mesra Muslim dan memudahkan kami mencari pelbagai pilihan makanan halal, antaranya di Islamic Centre Canteen.

“Kami juga berpeluang melawat tempat ibadah seperti Masjid Kowloon. Selain itu, terdapat banyak tarikan mesra keluarga seperti Ocean Park.

“Ia menjadi satu pengalaman yang sangat bermakna apabila kami dapat menjalani penggambaran sambil meluangkan masa bersama keluarga di sana,” kata Ernie.

Bagi Syamel, projek ini lebih daripada sekadar kerjaya seni kerana beliau berpeluang membawa anakanda mereka, Khawla, ke set penggambaran.

“Rakaman MV ini terasa seperti kami sedang bercuti sekeluarga.

“Kami dapat bawa Khawla ke lokasi-lokasi menarik. Ia bukan sekadar penggambaran profesional, tetapi satu pengalaman indah yang kami dapat kongsi bersama sebagai sebuah keluarga.

“Proses rakaman juga sangat santai. Kami sentiasa menyanyi dalam keadaan tersenyum supaya emosi kegembiraan itu sampai secara ikhlas kepada pendengar,” ujar Syamel.

Meskipun sinonim dengan lagu-lagu balada yang berat dan penuh emosi, Ernie menyifatkan proses rakaman Suasana Raya sebagai sesuatu yang menyeronokkan dan tidak memberi tekanan.

Kekuatan melodi yang catchy menjadi taruhan utama pasangan ini untuk memastikan lagu ini terus dimainkan saban tahun.

Dengan pelancaran ini, Ernie dan Syamel berharap karya mereka akan terus kekal di hati peminat dan menjadi antara lagu wajib dalam senarai muzik Aidilfitri untuk jangka masa yang panjang.


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

Gali pengalaman sendiri, Shiha Zikir kongsi kisah survival hidup dalam single Mula

PENYANYI, Shiha Zikir mengambil pendekatan berani dengan menolak trend lagu jiwang klise menerusi pelancaran single terbaharunya yang berjudul Mula. Kolaborasi...

More Articles Like This