Kerajaan Negeri Melaka terus mengorak langkah memperkukuh kelestarian alam sekitar dan kesihatan awam dengan perasmian Loji Pelupusan Sisa Klinikal berteknologi tinggi milik Medivest Sdn. Bhd. di Bukit Rambai, di sini, hari ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Medivest, Ts. Abdullah Hashim berkata, pembinaan loji ini selaras dengan nilai ESG syarikat dan matlamat ‘zero waste to landfill’ melalui inisiatif seperti penggunaan semula abu insinerator untuk konkrit, pemasangan sistem tenaga solar yang menjana sehingga 230 MWh setahun, dan pengurangan pelepasan karbon sebanyak 174 kilogram CO₂ setahun.
Majlis perasmian disempurnakan oleh Ketua Menteri, YAB Datuk Seri Utama Ab Rauf bin Yusoh, yang menyifatkan loji bernilai RM30 juta itu sebagai pencapaian strategik dalam menangani pengurusan sisa perubatan negara secara lebih selamat, efisien dan mesra alam.

Kerajaan Negeri Melaka menyifatkan projek ini sebagai model kerjasama awam-swasta yang berjaya, sekali gus membuktikan kemampuan negeri ini memacu pembangunan mampan demi kesejahteraan rakyat dan alam sekitar.
Pembinaan loji tersebut bermula pada tahun 2020 dan berjaya disiapkan meskipun berdepan cabaran pandemik COVID-19, termasuk gangguan rantaian bekalan serta kekangan kemasukan pakar teknikal antarabangsa. Sepanjang tempoh itu, Medivest turut mengendalikan peningkatan mendadak jumlah sisa klinikal dengan kerjasama rapat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Jabatan Alam Sekitar (JAS).

Loji ini mampu memproses sehingga 20 tan metrik sisa klinikal sehari dan dilengkapi dengan sistem pembakaran moden Counter-current Rotary Kiln, kawalan pencemaran udara (Air Pollution Control System), serta pemantauan pelepasan berterusan (Continuous Emission Monitoring System – CEMS). Semua pengangkutan sisa dipantau secara masa nyata menerusi Amplified Intelligence Centre (AIC) di ibu pejabat Medivest.
Medivest, yang beroperasi sejak 1997, kini mengurus perkhidmatan sokongan hospital kerajaan di Melaka, Johor dan Negeri Sembilan, selain fasiliti swasta dan komersial. Komitmen syarikat ini terhadap kelestarian diiktiraf menerusi Malaysia Technology Excellence Award 2024 (kategori ESG Tech – Environmental Services) dan MSOSH Gold Class 1 Award.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

