Emosi dan kehalusan jiwa seorang wanita diterjemahkan menerusi Opera d’Arte by Nurina Norman, hasil kolaborasi eksklusif bersama Universiti Malaya (UM).
Pameran UTOPIA ini mengetengahkan karya-karya seni kontemporari yang membawa pengunjung menyelami imaginasi, idealisme dan aspirasi manusia terhadap dunia yang lebih harmoni. Disusun berasaskan falsafah Nurina, pameran ini memberi ruang untuk pengunjung menafsir makna UTOPIA mengikut kaca mata mereka sendiri.

Pengarah Artistik Opera d’Arte, Datin Wira Nurina Norman berkata, UTOPIA bukan sekadar pameran seni, ia adalah sebuah perjalanan merentasi idea dan harapan manusia.
“Ia membolehkan kita mencipta dunia ideal melalui seni visual meskipun tidak wujud dalam realiti. Malah setiap lukisan merupakan luahan hati saya sebagai seorang ibu dan wanita yang penuh kasih sayang dan mainan emosi dalam setiap perjalanan kehidupan,” katanya.
Karyanya bermula apabila negara dilanda wabak pandemik dan dia mencurahkan segala perasaan di atas kanvas.

“Sebelum ini saya merupakan seorang akauntan, namun jiwa saya sentiasa penuh dengan seni. Dan sebab itu apabila terpaksa berkurung di dalam rumah sewaktu Covid, saya kembali berkarya dan memulakan di atas kanvas kecil terlebih dahulu dan kemudian secara perlahan-lahan ke skala besar.
“Terdapat pelbagai teknik digunakan termasuk ‘crush diamond’ dalam salah satu karya yang dihasilkan. Malah mainan warna ‘bold’ dan pastel juga antara ‘signature’ koleksi Opera d’Arte,” tambahnya lagi.
Pameran seni halus ini membuka tirainya di Galeri Seni UM bermula 18 Ogos hingga 20 September 2025, dengan kemasukan percuma buat semua lapisan masyarakat.

Terdahulu, majlis perasmian disempurnakan oleh Profesor Madya Dr. Azah Anir Norman, Ketua Pegawai Digital UM, mewakili pengurusan tertinggi universiti. Turut hadir memeriahkan acara ialah Datuk Seri Mohamed Faroz Mohamed Jakel serta Datuk Wira Mohamed Izani Mohamed Jakel daripada Kumpulan JAKEL.
Kerjasama Opera d’Arte dengan Universiti Malaya bukan sahaja memperkukuh hubungan antara institusi akademik dan industri seni, malah membuka ruang dialog kreatif antara pelajar, warga akademik, artis, serta komuniti umum.

Objektif utama pameran ini adalah untuk menghubungkan seni dengan masyarakat sambil memartabatkan seni tempatan. Ia juga berfungsi sebagai platform bagi dialog dan pemikiran kritis, di samping menyemai inspirasi serta harapan. Pada masa yang sama, UTOPIA mengajak pengunjung untuk meneroka makna dunia ideal dalam kehidupan seharian.
Sepanjang sebulan penganjuran, pengunjung bukan sahaja dapat menikmati karya seni kontemporari, malah berpeluang menyertai sesi wacana seni, bengkel kreatif serta lawatan berpandu.

