Kuala Lumpur bakal menjadi tumpuan peminat automotif pada Sabtu, 6 September ini apabila berlangsungnya festival Motor Maniac 2025 edisi keempat.
Menyasarkan lebih 30,000 pengunjung dalam tempoh sehari, festival yang menjadi kegilaan peminat permotoran ini dijangka mendapat sambutan terbesar dalam sejarah penganjurannya.
Bertempat di rooftop MyTown Kuala Lumpur dengan berlatarkan panorama ikonik kota raya, pengunjung bakal disajikan deretan lebih 600 buah kereta modifikasi daripada pelbagai kategori, sama ada keluaran tempatan, JDM, Continental dan Super Cars.
Pemandangan senja hingga tengah malam dijamin menjadi tarikan utama dan port wajib yang ‘Instagrammable’ buat peminat yang suka bergambar.

Dianjurkan oleh Bateriku, penyedia Connected Roadside Assistance nombor satu di Malaysia, festival ini turut mendapat kerjasama daripada barisan rakan strategik. Antaranya Astra, UVR, Retro Havoc, Printing, Kahf, GGR Motor, serta penaja rasmi termasuk Mr Absorber, Kopi Saigon, Driveo dan Petronas Lubricant.
Turut serta ialah jenama streetwear popular iaitu Headers, Super Sunday, Abstrax, Choii Motorsports, serta komuniti awal yang setia menyokong MotorManiac sejak awal penganjurannya.

Menurut pengasas Motor Maniac, Mikhael Faizi, acara ini yang pada awalnya hanya sebagai sekadar perjumpaan peminat kereta telah berkembang menjadi satu festival besar yang kini turut mendapat perhatian daripada peminat luar negara.
“Motor Maniac bukan sekadar perjumpaan peminat kereta. Ia lebih daripada itu. Ia tentang gaya hidup, budaya dan komuniti. Kali ini, kami himpunkan semuanya di satu rooftop berlatarbelakangkan langit Kuala Lumpur, kami ciptakan satu festival sehari yang hidup dari pagi hingga tengah malam. ASTRA Cup dan rakan media global adalah bukti bahawa apa yang bermula sebagai gerakan tempatan kini mendapat sambutan di pentas dunia,” ujar Mikhael semasa berucap di majis pengumuman Motor Maniac 2025 yang berlangsung di Shah Alam baru-baru ini.

Festival kali ini juga membuka langkah MotorManiac ke pentas global apabila akan turut dihadiri oleh media antarabangsa dari United Kingdom, Australia dan Jepun.
Pesta Sehari Suntuk
Berbeza dengan tahun-tahun lalu yang diadakan selama dua hari, MotorManiac 2025 hanya berlangsung sehari bermula pukul 10.00 pagi hingga 12.00 tengah malam.
Ia turut merangkumi pertandingan permotoran seperti King of Maniac Challenge, ASTRA Cup: 2 Step Competition dan Car Limbo Contest. Kali ini, MotorManiac turut memperkenalkan Car Parade, di mana deretan kereta akan berarak memasuki rooftop dengan penuh gaya yang diinspirasikan daripada acara di Thailand.
Pengunjung juga akan dihiburkan dengan ‘Mini Diecast Expo’ serta konsert hip-hop di rooftop dengan barisan artis seperti Alyph, Eemrun, Dann N Qrack dan 53 Universe.
Menariknya, tradisi ASTRA Cup yang diperkenalkan sebagai trofi akan diperbaharui apabila nama pemenang setiap tahun akan diukir pada piala tersebut sehingga edisi berikutnya, menjadikannya simbol tradisi dan prestij dalam sejarah penganjuran festival MotorManiac.
Selain itu, pengunjung juga berpeluang membawa pulang hadiah utama berupa tiga buah motosikal elektrik (EV Bik) menerusi cabutan bertuah. Setiap pembelian barangan rasmi MotorManiac atau baucar Bateriku akan melayakkan pengunjung mendapat tiket cabutan.

Tiket masuk am dijual pada harga RM20, manakala kanak-kanak bawah 12 tahun dan OKU masuk adalah percuma.
Dengan gabungan automotif, budaya dan hiburan, MotorManiac 2025 dijangka mencipta satu lagi sejarah dalam kalendar acara gaya hidup kota Kuala Lumpur.
So, untuk peminat kereta, jangan lupa serbu Rooftop MyTown, Kuala Lumpur pada Sabtu, 6 September ini ya!


