Kucing jantan bernama Oscar ini mula mendapat perhatian apabila artikel mengenainya diterbitkan dalam New England Journal of Medicine. Ia ditulis oleh Dr. David Dosa, seorang doktor pakar dalam bidang geriatrik, iaitu cabang perubatan khusus untuk kesihatan warga emas.
Oscar ialah salah seekor daripada enam kucing yang diambil pada tahun 2005 oleh Steere House Nursing and Rehabilitation Center di Rhode Island, Amerika Syarikat.
Pusat jagaan warga emas itu bukan hanya menjaga orang tua, tetapi juga sebuah fasiliti yang mesra haiwan peliharaan dan membenarkan pelbagai jenis haiwan datang melawat atau tinggal di situ.

Oscar digambarkan sebagai seekor kucing yang agak terpencil dan bukan jenis yang mudah mesra dengan manusia. Tetapi, ada satu kelebihan kucing ini yang membuatkan ia menjadi terkenal setelah kisahnya disiarkan.
Kucing ini dikenali kerana kemampuannya yang dapat meramal bila pesakit di rumah jagaan itu akan meninggal dunia.
Menurut Dr. David Dosa, dia sendiri agak skeptikal apabila diberitahu tentang kebolehan Oscar yang mampu meramal kematian pesakit di situ. Namun, keraguannya mula hilang apabila kajian pasukannya mendapati 50 kali ramalan yang dibuat Oscar adalah tebat sepanjang dalam tempoh lima tahun, seperti yang dijelaskan dalam bukunya Making Rounds With Oscar: The Extraordinary Gift of an Ordinary Cat.

Oscar, kucing berbulu campuran kelabu, coklat dan putih ini diambil oleh kakitangan pusat jagaan itu untuk menjadi haiwan penghibur di rumah tersebut.
Selepas setahun berada di situ, kakitangan di rumah itu mula menyedari Oscar akan menghabiskan harinya dengan berjalan dari bilik ke bilik. Kucing itu akan menghidu dan melihat pesakit, tetapi jarang meluangkan masa dengan sesiapa – kecuali mereka yang tidak mempunyai masa yang lama untuk hidup.
Biasanya, jika Oscar berbaring atau duduk diam di sisi seseorang pesakit itu, tidak lama kemudian pesakit itu akan meninggal dunia. Oscar akan berbaring rapat di sisi pesakit, seolah-olah menemani mereka pada detik terakhir sebelum nafas mereka terhenti.

Jika pintu bilik ditutup, Oscar akan menggaru-garu pintu atau dinding, tanda minta dibuka pintu itu supaya ia dapat masuk. Fenomena ini menjadi begitu konsisten sehingga kakitangan rumah jagaan mula menjadikan kehadiran Oscar sebagai tanda untuk memanggil keluarga pesakit agar dapat bersama di saat terakhir sebelum pesakit pergi buat selama-lamanya.
Pernah jururawat meletakkan Oscar di katil seorang pesakit yang nazak dan mereka sangka akan meninggal dunia. Tetapi kucing itu enggan. Rupanya, jangkaan doktor yang salah. Pesakit itu sempat bertahan dua hari lagi. Dan pada saat-saat akhir, Oscar hadir ke sisi pesakit itu tanpa dipaksa, setia menemani di waktu-waktu terakhirnya.
Dalam tempoh lima tahun pertama, Oscar dikatakan telah meramal dengan tepat lebih 50 kematian. Rekod ini membuatkan ramai merujuknya sebagai ‘furry grim reaper‘ (malaikat maut berbulu).
Namun bagi keluarga pesakit, kehadiran Oscar bukan sebagai sesuatu yang menakutkan, tetapi menenangkan. Mereka melihat Oscar seakan-akan menawarkan peneman senyap pada saat-saat terakhir, ketika manusia lain tidak tahu bagaimana berdepan dengan kematian.

Dr. David tidak mempunyai penjelasan saintifik yang jelas terhadap kelebihan kucing ini. Hanya sekadar teori Oscar mungkin meniru tingkah laku jururawat yang membesarkannya atau dapat menghidu bau kimia yang dikeluarkan oleh sel-sel orang yang hampir mati, seperti anjing yang dikatakan mampu mengesan kanser melalui deria bau.
Selepas kisahnya diterbitkan dalam New England Journal of Medicine pada tahun 2007 dan kemudian dalam buku Dr. David Dosa, Oscar menjadi terkenal. Media antarabangsa seperti BBC, CNN, dan akhbar-akhbar utama menulis tentang kelebihannya.
Oscar terus hidup seperti biasa di rumah jagaan Steere House. Dia masih berjalan sekeliling bilik, memerhati pesakit dan kadangkala berbaring menemani mereka di saat-saat akhir.
Oscar hidup di Steere House selama hampir 15 tahun. Sepanjang hayatnya, kucing ini telah menemani ratusan pesakit di saat-saat terakhir mereka.
Walaupun sifatnya kekal dingin terhadap kebanyakan orang (jarang mahu dibelai atau didukung), Oscar tetap menjadi sebahagian daripada identiti Steere House.

Namun, khidmat Oscar terhenti apabila kucing ini meninggal dunia pada tahun 2022, ketika usianya kira-kira 17 tahun – usia yang dianggap sudah lanjut untuk seekor kucing.
Sehingga kini, tiada siapa benar-benar tahu bagaimana kucing ini mampu menghidu kematian. Apa yang pasti, Oscar menjadi simbol bagaimana seekor haiwan memberikan ketenangan di saat-saat akhir hayat seorang manusia.
___
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

