KWC Fashion Wholesale, pusat borong fesyen Muslimah terbesar di negara ini, tampil menyerlah apabila menjadikan Stesen LRT Hang Tuah sebagai hab utama sempena penganjuran Keretapi Sarong 2025.
Acara tahunan ikonik itu diraikan sebagai simbol perpaduan rakyat Malaysia melalui warisan, tradisi dan gaya hidup berfesyen, dengan perjalanan rasmi bermula dari stesen bersebelahan pusat beli-belah berkenaan.

Pengurus Pengiklanan dan Promosi, Wendy Lam berkata, pihaknya berbesar hati dapat menyertai Keretapi Sarong yang dianggap wadah menyemarakkan kebanggaan budaya melalui gaya.
“Dengan Stesen LRT Hang Tuah sebagai hentian rasmi, kami tidak sabar menyambut para peserta dan mengalu-alukan mereka meneroka kepelbagaian fesyen di KWC pada harga terbaik.
“Lebih menarik, 100 peserta terawal bakal menerima beg cenderamata eksklusif serta hadiah percuma. Kami juga menganjurkan Anugerah Pakaian Terbaik dan Pertandingan Fotografi bagi menggalakkan kreativiti dan semangat komuniti,” katanya.

Selain itu, pengunjung turut berpeluang menyaksikan pertunjukan fesyen eksklusif, program penebusan, serta pelbagai aktiviti interaktif yang menampilkan busana tradisional dengan gaya moden dan versatil.
Bagi memeriahkan lagi cuti sekolah, KWC menganjurkan Holiday Funland Adventure dari 12 hingga 21 September. Kanak-kanak boleh menikmati aktiviti seperti Bouncy Castle, Claw Machine dan Mesin Arked. Tiket masuk ke Bouncy Castle ditawarkan pada harga RM15, manakala permainan arked bermula serendah RM2.

Pengunjung yang berbelanja RM50 ke atas layak menebus satu tiket masuk percuma ke Bouncy Castle untuk tempoh sejam, menjadikan KWC sebagai destinasi keluarga yang ideal.
KWC menegaskan penglibatan mereka bukan sekadar meraikan fesyen, malah memperkukuh identiti bangsa dengan mengangkat busana tradisional ke pentas moden agar terus dekat di hati generasi muda.
KWC yang menempatkan lebih 800 kedai, menawarkan pelbagai pilihan busana daripada batik mampu milik, kebaya, busana tradisional, pakaian moden Melayu, aksesori hingga koleksi hijab terkini, sekali gus mengukuhkan imejnya sebagai destinasi fesyen paling lengkap di ibu kota.

