SEORANG kakitangan Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) dilaporkan hilang selepas dipercayai dihanyutkan arus deras ketika bertugas dalam satu kejadian di Kampung Nuntunan Apin-Apin, Keningau, lewat malam tadi.
Menerusi satu kenyataan hari ini, Sabah Electricity dalam kenyataan hari ini memaklumkan kakitangannya itu dipercayai telah dihanyutkan arus deras ketika melakukan tugasan operasi.
Katanya, pasukan penyelamat bersama pihak berkuasa berkaitan telah digerakkan ke lokasi dan usaha pencarian mangsa sedang giat dijalankan.
“Keutamaan kami pada ketika ini adalah keselamatan serta kebajikan kakitangan yang terlibat, di samping memberikan sokongan penuh kepada keluarga mangsa,” katanya.
Menurutnya lagi, syarikat elektrik itu menegaskan akan terus bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa di dalam operasi tersebut dan akan memaklumkan perkembangan lanjut dari semasa ke semasa.
“Kami memohon semua pihak mengormati sensitiviti situasi ini serta memberikan ruang kepada keluarga mangsa yang sedang melalui detik sukar,” ujarnya lagi.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Sabah Mohd Pisar Aziz berkata mangsa yang merupakan seorang lelaki berusia lingkungan 30-an itu dikhuatiri lemas dibawa arus banjir ketika cuba menyeberangi jambatan.
Katanya, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu kira-kira jam 9.47 malam tadi selain memaklumkan jumlah mangsa yang terlibat adalah tiga petugas Sabah Electricity, memetik laporan Bernama.
Menurut Mohd Pisar, dua lagi mangsa itu berjaya menyelamatkan diri manakala seorang lagi dibawa arus banjir.
Terdahulu, tular di media sosial video memaparkan kenderaan pacuan empat roda syarikat itu yang terperangkap dalam banjir dengan arus deras, dan memaklumkan pasukan berkenaan sedang melaksanakan operasi pemulihan kerana kampung terbabit terputus bekalan elektrik.

