RAKYAT Malaysia yang berada atau merancang untuk berkunjung ke Thailand dinasihatkan supaya sentiasa berwaspada susulan amaran risiko hujan lebat yang berpotensi mengakibatkan banjir kilat, banjir dan aliran air deras bagi tempoh sehingga 3 Julai ini.
Menurut Konsulat Jeneral Malaysia di Songkhla, ini berdasarkan maklumat terkini yang dikeluarkan oleh Jabatan Pencegahan dan Mitigasi Bencana Thailand (Department of Disaster Prevention and Mitigation – DDPM).
Jelasnya, beberapa kawasan di Thailand dijangka mengalami hujan lebat hingga sangat lebat.
“Keadaan cuaca tersebut berpotensi mengakibatkan banjir kilat, banjir, aliran air deras dari kawasan hutan selain risiko tanah runtuh serta ombak kuat di kawasan pesisir Laut Andaman.
“Sehubungan itu, rakyat Malaysia yang berada atau merancang untuk berkunjung ke Thailand, khususnya ke kawasan-kawasan yang dikenal pasti berisiko, dinasihatkan supaya sentiasa berwaspada.
“Ini termasuk memantau perkembangan cuaca terkini serta mematuhi segala arahan dan nasihat yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa Thailand dari semasa ke semasa,” jelasnya dalam kenyataan.
Konsulat Jeneral Malaysia di Songkhla memberitahu, rakyat Malaysia juga disarankan supaya mendapatkan perlindungan insurans perjalanan yang bersesuaian sebelum memulakan perjalanan.
Ini katanya, bagi mengurangkan risiko kerugian atau kesulitan yang mungkin timbul akibat kejadian yang tidak dijangka sepanjang berada di Thailand.
Di samping itu jelasnya, orang ramai dinasihatkan supaya mengelakkan daripada mengunjungi kawasan air terjun, gua, lereng bukit, sungai dan kawasan pantai yang dikenal pasti berisiko.
“Terutamanya, jika keadaan cuaca bertambah buruk atau pihak berkuasa tempatan menguatkuasakan sekatan keselamatan di kawasan berkenaan,” tegasnya.
Dalam kejadian banjir pada November tahun lalu, ribuan rakyat Malaysia dilaporkan terkandas di Hatyai.

