Bila sebut nama ‘puntianak’, sudah tentu yang tergambar dalam fikiran kita ialah hantu. Ia digambarkan sebagai wanita berambut panjang, mata merah, berpakaian serba putih, terbang bergentayangan sambil ketawa mengilai-ilai.
Sosok hantu berambut panjang ini juga popular dengan sebuah daerah di Kalimantan Barat, Indonesia. Sebuah daerah bernama Pontianak di sana antara kota yang kaya dengan sejarah.
Kota Pontianak turut digelar sebagai ‘Kota Khatulistiwa’ kerana terletak tepat di atas garisan khatulistiwa. Majoriti penduduknya terdiri daripada masyarakat Melayu, Dayak dan Cina.

Kota ini diasaskan oleh Sultan Syarif Abdurrahman Alkadrie pada tahun 1771, yang kemudian menjadikannya ibu kota Kesultanan Kadriyah. Hingga kini, warisan sejarah seperti Masjid Jami’ Pontianak (juga dikenali Masjid Jami’ Sultan Abdurrahman) dan Istana Kadriyah masih berdiri sebagai saksi kelahiran kota ini.
Masjid Jami’ Pontianak merupakan masjid tertua di Pontianak. Masjid dan istana ini adalah bangunan pertama yang dibina selepas penubuhan Pontianak pada 1771.

Jika Sungai Rajang menjadi kebanggaan masyarakat Sarawak dan merupakan sungai terpanjang di Malaysia, Sungai Kapuas yang mengalir di Pontianak pula adalah sungai terpanjang di Indonesia, dengan kepanjangannya adalah lebih kurang 2 kali ganda Sungai Rajang dan melebihi 1100 km.
Baik, berbalik kenapa nama daerah ini, sebenarnya asal usul nama Pontianak itu sendiri hadir bersama kisah-kisah unik dan penuh misteri.
Ada beberapa versi dikaitkan dengan kisah nama bagaimana daerah ini mendapat namanya. Pertama, ia benar-benar dikaitkan dengan kehadiran si hantu puntianak.
Diceritakan Sultan Syarif Abdurrahman Alkadrie telah merantau ke kawasan ini dengan menyusuri Sungai Kapuas untuk mencari daerah baru bagi membina sebuah penempatan.
Rombongannya tiba di sebuah kawasan dan bermalam di situ. Namun, mereka diganggu oleh bunyi-bunyi yang menakutkan. Masuk malam ketiga masih diganggu dengan bunyi itu, Sultan Syarif telah mengarahkan untuk menembak tiga das meriam ke arah bunyi tersebut. Tujuannya untuk menghalau makhluk tersebut.
Tembakan itu berjaya melenyapkan bunyi seram itu. Lalu Sultan Syarif mendapat idea untuk mendirikan kerajaannnya di kawasan itu, dan menamakan kawasan tersebut sebagai ‘Pontianak’, mengambil nama makhluk tersebut.

Tempat pertama di mana jatuhnya peluru tersebut didirikan masjid. Tempat kedua dibina tugu peringatan dan dijadikan kawasan perkuburan untuk Kesultanan Pontianak. Manakala tempat ketiga dibina istana.
Versi lain pula menceritakan di kawasan yang hendak didirikan penempatan oleh Sultan Syarif itu, ada banyak pohon besar yang tinggi. Penduduk tempatan memanggilnya sebagai ‘pohon punti’. Dari situ kawasan itu mendapat nama yang dipanggil ‘Pontianak.
Cerita lain pula menyebut sewaktu Sultan Syarif menyusur Sungai Kapuas, dia melihat penduduk tempatan sedang bercucuk tanam. Anak kecil mereka pula lena tidur di atas kulit kayu yang dihasilkan daripada pokok ponti. Dari situ tercetusnya nama Pontianak. Versi ini adalah berdasarkan sumber dari Kesultanan Pontianak. Bermakna, ia tiada kaitan dengan hantu seperti yang diwar-warkan.
Selain itu, bahasa lama orang-orang dulu memanggil sesebuah kawasan persinggahan atau perhentian sebagai ‘pontian’. Jadi, tempat di mana Sultan Syarif berhenti untuk bermalam itu yang disebut ‘pontian’ dan akhirnya berubah menjadi Pontianak.
Berbeza dengan segelintir orang Cina yang mendiami Pontianak, mereka percaya perkataan ‘pontianak’ itu berasal daripada bahasa Mandarin – ‘Kun Dian’ atau ‘Kun Tian’ yang bermaksud ‘perhentian’ atau ‘persinggahan’.

Walau banyak kisah dikaitkan dengan asul usul nama daerah ini, tetapi versi si hantu puntianak adalah yang paling popular. Ramai sejarawan di Kalimantan lebih memilih untuk mengangkat versi tersebut kerana ianya sinonim dengan cerita sejarah di mana berdirinya kerajaan dulu-dulu samada melalui sesuatu peristiwa pelik sebagai petanda.
Malah, ada juga penduduk setempat yang beranggapan kota ini terbentuk kerana pada zaman dahulu ramai wanita yang meninggal semasa melahirkan anak, lalu berubah menjadi hantu.
Di kota ini juga ada budaya unik di mana penduduknya akan melepaskan tembakan meriam dalam acara tertentu sebagai simbolik untuk menghalau puntianak.
Begitulah ceritanya bagaimana Pontianak mendapat nama. Apa pun versinya, nama itu bukan saja unik, tetapi turut menjadi identiti sebuah kota yang yang kaya dengan mitos dan budaya untuk diterokai.


____

