Pontianak menjerit di Bukit Larut… Minta tolong atau panggil mangsa?

Dari Penulis

Bukit Larut yang terletak di Taiping, Perak atau lebih dikenali sebagai Bukit Maxwell, bukanlah sekadar destinasi tanah tinggi yang mendamaikan.

Di sebalik kabus yang tidak pernah benar-benar hilang, hujan petang yang turun hampir setiap hari, ada ‘sesuatu’ yang dikatakan masih berkeliaran.

Bagi seorang penduduk tempatan, dikenali sebagai Faiz Aziz, Bukit Larut menyimpan kisah yang tidak semua orang tahu.

Kisah itu sering menjadi perbualan dan diceritakan dari satu generasi ke satu generasi lain.

“Kisah ini bukanlah pengalaman saya. Tapi ramai yang bercerita kisah yang sama. Betul atau tidak, tidak dapat dibuktikan.

“Kalau datang siang… Memang nampak cantik. Tapi bila malam… Tempat tu lain macam.”

Menurut Faiz berdasarkan apa yang diceritakan dalam kalangan penduduk setempat, terdapat beberapa lokasi ‘keras’ di sekitar Bukit Larut. Namun satu daripadanya paling seram kerana melibatkan jeritan seorang wanita yang tidak pernah berhenti.

Bukit Larut antara destinasi pelancongan popular di Perak
Kisah pontianak menjerit minta tolong di Bukit Larut menjadi sebutan

Katanya, suara pontianak yang meminta tolong. Inilah kisah yang kerap disebut dan paling ditakuti.

Menurut Faiz, dulu ramai pengunjung yang bermalam di Banglo di Bukit Larut mendakwa terdengar suara wanita menangis, merintih malah memanggil-manggil seperti meminta pertolongan, dalam nada yang menyayat hati.

“Ada yang dengar dekat sangat, macam betul-betul depan tingkap.

“Namun apabila diperiksa, tiada siapa pun.
Ada yang percaya suara itu milik Pontianak, roh wanita yang mati dalam keadaan tragis.

“ Malah, ada dakwaan mengatakan kelibat wanita berambut panjang pernah dilihat berdiri di celah kabus, sebelum hilang tanpa jejak.

“Lebih menyeramkan, ada yang mendakwa, suara itu akan semakin kuat jika disahut.”

72 selekoh tajam, ‘ada yang tumpang naik’

Perjalanan melalui 72 selekoh tajam di lereng-lereng hingga ke puncak bukit ini bukan sekadar mencabar… tetapi mengundang rasa tidak sedap hati.

“Kadang-kadang rasa macam ada yang tumpang sekali naik. Tiba-tiba saja buli roma meremang.

“Ada pemandu mendakwa terlihat bayangan putih di tepi jalan. Ada juga yang merasakan sesuatu ‘duduk’ di tempat duduk belakang walaupun kenderaan kosong.

“Apabila sampai ke atas, rasa itu hilang. Ada yang cakap, ‘benda’ itu hanya mahu ‘menumpang’ separuh jalan.

Faiz bersama keluarga berkunjung ke Bukit Larut untuk beriadah

Ramai yang mati… tanpa kubur sempurna

Ketika Perang Dunia Kedua, laluan ke puncak bukit ini dibina menggunakan buruh paksa yang terdiri daripada tawanan perang dan penduduk tempatan.

“Ada orang dengar bunyi cangkul tengah malam. Selepas itu, bunyi langkah orang ramai-ramai, macam kerja masih berjalan.

“Seolah-olah buruh paksa itu masih bekerja. Ada yang percaya, roh-roh mereka masih ‘terperangkap’ apabila mereka mengulang kerja yang tidak pernah selesai.”

Banglo lama penjajah… ‘Ada yang menunggu’

Banglo lama peninggalan British di puncak bukit masih berdiri cantik, sunyi… tetapi tidak selalu kosong.

“Ada tetamu mengadu dengar orang berjalan dalam rumah.

“Lebih menyeramkan, ada yang mendakwa terlihat wanita berpakaian putih berdiri di sudut bilik, tidak bergerak… hanya memandang.

“Apabila lampu dibuka, tiada sesiapa pun. Sama ada ia benar-benar wujud, atau hanya perasaan, itulah kisah yang sering diceritakan.”

Pendaki yang tersesat…

Hutan di Bukit Larut memang tebal, lembap dan sentiasa diselubungi kabus.

Di sinilah, kata Faiz… jelmaan yang dikatakan pontianak sering dilihat masuk dan hilang.

“Pendaki yang tersesat mendakwa terdengar suara memanggil dari dalam hutan, suara yang sama seperti wanita menangis.

“Namun semakin didekati, suara itu semakin jauh. Seolah-olah sengaja memancing manusia masuk lebih dalam.”

Antara keindahan dan cerita misteri yang tidak dapat dipisahkan, hari ini, Bukit Larut kekal sebagai destinasi yang indah dan menenangkan.

Namun bagi mereka yang ada pengalaman seram, pasti tidak dapat melupakan bukit ini menyimpan seorang wanita yang masih menangis.

Persoalannya, jika anda terdengar suara itu memanggil… Adakah anda akan menyahut?

Catatan: Cerita Faiz kepada Mastika adalah pandangan peribadi dan berdasarkan kisah-kisah yang menjadi bualan penduduk setempat. Tidak ada kaitan dengan mana-mana pihak serta mereka yang hidup atau meninggal dunia.


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

Misteri Kuil Ular: Demi pelaris… Pelacur, isteri curang sanggup amal khurafat

“Bawa dua ekor ayam hitam yang berbulu hitam sepenuhnya.” Itulah antara dakwaan penduduk setempat yang sering dikaitkan dengan sebuah kuil...

More Articles Like This