Perdagangan teh di Eropah bermula pada abad ke-16 melalui orang Portugis di Macao. Namun, teh hanya menjadi popular di Britain selepas abad ke-17. Untuk tempoh hampir dua abad, Syarikat Hindia Timur mengawal penuh perdagangan ini.
Selepas monopoli itu berakhir pada tahun 1833, lebih ramai pedagang persendirian mula terlibat dalam perniagaan ini. Pemansuhan undang-undang lama yang menghadkan kemasukan barangan ke Britain turut membuka peluang kepada kapal milik swasta.
Limbungan kapal mula menghasilkan clippers yang lebih pantas kerana kelajuan menjadi kunci keuntungan. Pedagang persendirian menghantar kargo dengan kapal milik mereka sendiri, tanpa perlu bergantung kepada kapal British sahaja.
Kesannya? Ledakan inovasi. Limbungan kapal di Aberdeen, Glasgow, Liverpool hingga ke Sungai Thames sibuk menghasilkan kapal layar paling laju yang pernah dikenali dunia sebagai ‘tea clippers’.

Pada penghujung Mei 1866, pelabuhan Fuzhou di China menjadi tumpuan. Lima kapal layar besar sedang bersiap sedia untuk berlayar ke London dengan membawa teh pertama musim itu.
Kapal-kapal ini bukan sahaja pengangkut dagangan, tetapi juga peserta dalam satu perlumbaan tahunan yang dinanti pedagang, akhbar dan orang ramai di Britain.
Sejak pertengahan abad ke-19, setiap musim teh dari China disertai persaingan sengit antara tea clippers – kapal layar bertiang tinggi dan direka khas untuk berlayar laju.
Kapal yang tiba paling awal di London akan mendapat harga lebih tinggi untuk muatan mereka, sekali gus memberi keuntungan kepada pemilik kapal serta nama baik kepada kapten.
Tahun itu menyaksikan lima kapal utama yang bersaing. Ariel, sebuah kapal baru. Taeping, kapal yang terkenal kerana mampu membuat pelayaran dalam masa 89 hari. Serica pula kapal yang ada pengalaman tersendiri. Fiery Cross pula kapal yang sudah beberapa kali menang pada tahun-tahun sebelumnya. Dan kapal kelima, Taitsing juga adalah kapal baru.
Perlumbaan bermula 29 Mei. Fiery Cross keluar lebih awal ke laut kerana dibantu kapal penunda yang lebih kuat, manakala Ariel terpaksa menunggu. Tidak lama kemudian, kapal lain menyusul dan persaingan bermula.
Laluan mereka panjang, bermula dari Laut China, menyeberangi Lautan Hindi, mengelilingi Tanjung Harapan di Afrika, masuk ke Atlantik dan kemudian ke Selat Inggeris sebelum tiba di London.
Persaingan Sengit
Pada awalnya Fiery Cross mendahului, tetapi akhirnya Ariel dan Taeping berjaya memintas. Kapal-kapal tersebut sering bertukar kedudukan ketika melintasi Lautan Hindi.

Pada bulan Ogos, Taeping dan Fiery Cross sempat berlayar bersama hampir tiga minggu. Namun, Fiery Cross ketinggalan. Menjelang tiba di Azores, kedudukan keempat-empat kapal utama sangat rapat.
Pada September, Ariel dan Taeping tiba hampir serentak di Selat Inggeris. Kedua-duanya berlumba menuju ke Sungai Thames. Pada awalnya Ariel mendahului, tetapi kerana air surut, ia tidak dapat masuk ke East India Dock.
Taeping yang mempunyai lunas lebih cetek berjaya masuk ke London Docks terlebih dahulu, hanya 28 minit lebih awal daripada Ariel. Serica tiba pada malam yang sama, manakala Fiery Cross dan Taitsing menyusul beberapa hari kemudian.
Secara rasmi, Ariel dan Taeping diisytihar pemenang bersama. Namun, kapal wap Erl King sudah pun tiba di London dua minggu lebih awal dengan muatan teh. Akibatnya, walaupun premium dibayar kepada dua kapal tersebut, teh mereka tidak lagi boleh dijual pada harga tinggi. Lebih teruk, kerana tiga kapal besar tiba hampir serentak, pasaran teh dibanjiri bekalan yang membuatkan harga teh jatuh.
Selepas itu, tradisi memberi premium kepada kapal yang pertama tiba telah dihentikan.

Penghujung Zaman Clippers
Perlumbaan teh masih diteruskan beberapa musim lagi, tetapi kapal wap semakin mendominasi. Dengan enjin lebih moden, ia mampu mengalahkan clipper dengan mudah. Pembukaan Terusan Suez pada 1869 pula semakin memendekkan perjalanan kapal wap.
Perlumbaan teh terakhir dicatatkan pada tahun 1872, antara Cutty Sark dan Thermopylae. Selepas itu, perdagangan teh hampir sepenuhnya beralih kepada kapal wap. Banyak clipper dijual, dipindahkan ke perdagangan kecil, atau dilupuskan.
Apa nasib kapal-kapal clipper yang pernah bersaing sebagai pembekal teh?
Kapal Taeping karam di Laut China pada 1871. Ariel pula hilang dalam perjalanan ke Australia pada tahun 1872. Serica juga karam tahun 1872 di Paracels.
Kapal Fiery Cross membawa kargo terakhir pada 1872 / 1873 sebelum ia hilang sekitar tahun 1889 atau 1893. Kapal Taitsing terus berdagang sehingga tahun 1875, tetapi karam di Kepulauan Quirimbas pada 1883.
Perlumbaan Teh 1866 dikenang sebagai perlumbaan paling sengit, tetapi juga sebagai simbol berakhirnya era kapal layar dalam perdagangan teh dunia.


