Umpama resort terapung, kapal persiaran mewah Piano Land tawar percutian keluarga dan confirm halal

Dari Penulis

Syarikat pelancongan terkenal, Hwajing Travel & Tours Sdn. Bhd., melakar sejarah tersendiri apabila menjalin kerjasama strategik bersama Astro Ocean Cruise untuk membawa masuk kapal persiaran mewah, M/V Piano Land, ke Malaysia sempena ulang tahun ke-36 syarikat itu.

Digelar sebagai “resort terapung”, Piano Land menawarkan pelbagai kemudahan mesra keluarga termasuk 880 kabin moden, pilihan makanan halal, masakan Cina serta antarabangsa, persembahan teater ala Broadway, hiburan pelbagai budaya, pusat kecergasan, spa, kolam renang, arked membeli-belah serta kelab kanak-kanak dengan program khusus untuk keluarga.

Dengan gabungan elemen moden dan sentuhan Asia, kapal ini dijangka menjadi tarikan baharu yang bakal memeriahkan industri pelancongan Malaysia.

Pengarah Urusan Hwajing Travel & Tours, Kenny Cheong berkata, kehadiran Piano Land ke Malaysia bertepatan dengan sambutan ulang tahun ke-36 syarikat itu.

“Hwajing mahu menjadikan percutian kapal persiaran lebih mudah diakses oleh rakyat Malaysia dan pelancong serantau, selain memastikan pengalaman yang ditawarkan setanding dengan piawaian antarabangsa.

“Pencapaian ini amat bermakna bagi kami kerana ia bukan sahaja meraikan perjalanan panjang Hwajing dalam industri pelancongan, tetapi juga membuka lembaran baharu dalam menjadikan Malaysia sebagai hab pelayaran yang pesat membangun,” katanya.

Dalam pada itu, Naib Presiden Astro Ocean Cruise, Jian-feng Tong, pula menegaskan Malaysia dipilih kerana kedudukannya yang strategik serta potensinya dalam sektor pelancongan maritim. Beliau yakin konsep budaya dan pelayaran yang diketengahkan Piano Land akan menambah daya tarikan kepada pasaran tempatan dan serantau.

“Kami percaya pengalaman bercuti di atas Piano Land akan menjadi sesuatu yang unik kerana ia menggabungkan elemen moden dengan budaya Asia yang dekat dengan hati penumpang,” jelasnya.

Kapal persiaran seberat 70,000 tan dengan kapasiti 1,760 penumpang ini akan menjadi kapal dari China yang pertama berpengkalan di Malaysia, sekali gus mengukuhkan kedudukan negara sebagai hab pelayaran serantau. Pelayaran sulungnya dijadualkan berlepas pada 30 November ini dari Pulau Pinang.

Bagi memberi lebih pilihan kepada pelancong, jadual pelayaran Piano Land menawarkan pakej 3 hari 2 malam yang melibatkan laluan Pulau Pinang – Pelabuhan Klang – Pulau Pinang serta pakej 4 hari 3 malam yang merangkumi Pulau Pinang, Langkawi dan Pelabuhan Klang. Penumpang boleh memilih untuk berlepas sama ada dari Pulau Pinang atau Pelabuhan Klang, sekali gus memudahkan akses bukan sahaja kepada rakyat tempatan, malah juga pelancong dari rantau Asia Tenggara.

Lebih istimewa, Hwajing turut memperkenalkan pelayaran sambutan Tahun Baharu yang bakal berlangsung selama enam malam dari Port Klang ke Singapura, Nha Trang dan Hong Kong. Para penumpang dijanjikan pengalaman sambutan 2026 yang penuh meriah di atas kapal dengan persembahan hiburan bertaraf dunia dan kemuncaknya adalah pertunjukan bunga api berwarna-warni dari panorama ikonik Victoria Harbour di Hong Kong.

Majlis menandatangani perjanjian kerjasama itu berlangsung di Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang dan disaksikan oleh Datuk Yeoh Soon Hin, Pengerusi Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang merangkap Timbalan Pengerusi Tourism Malaysia.

Beliau berkata kehadiran Piano Land menepati visi kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebagai destinasi pangkalan utama kapal persiaran. Menurutnya, apabila pelancong memilih untuk memulakan dan menamatkan pelayaran di Malaysia, ia bukan sahaja memberi impak besar kepada jumlah kedatangan pelancong, tetapi juga merangsang ekonomi tempatan, membuka peluang pekerjaan serta mengetengahkan budaya dan warisan negara kepada dunia.


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

Gen Z tidak miskin pendapatan tetapi bergelut dalam realiti kehidupan

Felo Penyelidik Pasca Doktoral di Pusat Pengajian Pembangunan Ungku Aziz (UAC), Universiti Malaya, Dr. Nik Zirwatul Fatihah. Pensyarah Kanan di...

More Articles Like This