Dia bukan Islam, malah pernah menjadi orang penting dalam sistem ketenteraan Amerika Syarikat. Kini di usianya melebihi 70 tahun, wanita ini salah seorang watak penting yang menggerakkan misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla menuju ke Gaza.
Mary Ann Wright lahir tahun 1947, merupakan bekas kolonel Tentera Darat Amerika Syarikat. Beliau berkhidmat hampir tiga dekad dengan ketenteraan selain pernah menjadi diplomat wakil kedutaan di beberapa buah negara seperti Afghanistan, Somalia, Mongolia, Uzbekistan, Kyrgyzstan, Grenada dan banyak lagi.

Dia seorang yang taat pada negaranya. Namun, hidupnya berubah pada tahun 2003. Ketika Washington melancarkan perang ke atas Iraq, Ann membuat keputusan yang mengejutkan dunia – meletak jawatan.
Ia bukan sekadar penamatan kerjaya, tetapi tanda bantahan. Beliau menjadi salah seorang daripada tiga diplomat Amerika yang berani meninggalkan jawatan kerana menentang peperangan tersebut.
Ann menyerahkan surat peletakan jawatannya sehari sebelum serangan ke atas Iraq dilancarkan. Suratnya kemudian disiarkan di Internet pada keesokan harinya.
Dalam surat tersebut, Ann menyenaraikan empat sebab utama mengapa beliau tidak lagi sanggup berkhidmat di bawah pentadbiran Bush. Pertama, keputusan untuk menyerang Iraq tidak mendapat restu Majlis Keselamatan PBB.
Kedua, kurangnya usaha dalam proses damai Israel-Palestin. Ketiga, tiada dasar yang jelas terhadap Korea Utara. Dan keempat, pembatasan kebebasan sivil di dalam Amerika sendiri.
Langkah Berubah
Sejak hari itu, Ann memulakan haluan yang berbeza. Beliau lantang bersuara tentang peperangan dan pelbagai isu kemanusiaan sejagat. Dia juga banyak menulis, antaranya buku Dissent: Voices of Conscience, mendokumenkan suara mereka yang berani melawan arus dalam kerajaan dan tentera.
Apabila dunia dikejutkan dengan serangan Israel terhadap misi kemanusiaan flotila kapal Mavi Marmara pada 2010, beliau menyertai gerakan Freedom Flotilla Coalition. Walaupun tidak berada di atas kapal yang diserbu ketika itu, Ann menjadi salah seorang jurucakap yang lantang menuntut keadilan.
Kali pertama Ann Wright menyertai misi flotila ke Gaza adalah pada tahun 2010, beberapa bulan selepas tragedi Mavi Marmara. Kapal yang beliau naiki ialah Challenger 1, sebuah bot penumpang yang merupakan sebahagian daripada konvoi Freedom Flotilla II. Namun, kapalnya telah ditahan oleh tentera Israel sebelum sempat sampai ke Gaza. Beliau bersama aktivis lain ditahan di penjara Israel sebelum dihantar pulang.

Sejak itu, Ann Wright terus menyertai misi flotila hampir setiap kali dianjurkan (2011, 2016, 2018). Sejak pertama kali dia menaiki kapal, setiap percubaannya telah diserbu dan dihalang tentera zionis.
Kapal-kapal biasanya dirampas di perairan antarabangsa, kemudian semua penumpang ditahan, dipenjarakan sementara di Israel dan dihantar pulang. Ann Wright sendiri pernah ditahan beberapa kali. Pengalamannya itu banyak beliau ceritakan dalam penulisan dan wawancara, menekankan betapa sukarnya menembusi sekatan Israel.
Namun, dia tidak pernah jemu untuk sampai ke pesisir Gaza. Kini pada tahun 2025, ketika kebanyakan orang seusianya memilih menghabiskan masa dengan cucu dan menjalani sisa usia dengan tenang, tidak bagi Ann.
Sekali lagi dia bersama Flotila Global Sumud yang menghimpunkan kerjasama para aktivis dari lebih 40 buah negara dengan puluhan kapal dan ratusan sukarelawan untuk mencabar sekatan haram Israel. Ia adalah misi bantuan kemanusian kepada penduduk Gaza yang juga flotila awam terbesar dalam sejarah.
Tahun berganti tahun, Ann tetap konsisten. Dari jalanan protes di Amerika ke konferensi antarabangsa, hingga ke laut lepas, beliau terus lantang memperjuangkan hak rakyat Palestin walaupun kakinya sendiri masih belum pernah berjaya memijak Gaza dalam usaha yang dilakukan. Namun, dia tidak pernah berhenti.
Bagi Ann, keberanian bukan sekadar tentang berperang di medan tempur. Ia juga tentang berani melawan sistem yang kita pernah menjadi sebahagian daripadanya.
Atas dasar kemanusiaan tanpa mengira anutan, Ann Wright membuktikan bahawa seorang individu walaupun datang dari jantung tentera Amerika, tetapi mata hatinya lebih memilih kebenaran dan berdiri bersama yang tertindas.

__
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

