Nusaybah Binti Ka’ab, seorang wanita yang namanya tercatat kerana keberaniannya. Beliau turut digelar Ummu Umarah dan merupakan wanita golongan Ansar yang terawal memeluk Islam.
Nusaybah adalah wanita dari suku Bani Najjar yang tinggal di Madinah. Setelah memeluk Islam, beliau turut mengajar tentang Islam kepada golongan wanita di kota Madinah.
Beliau dikenali kerana berani untuk turut serta dalam peperangan yang disertai kaum Muslimin. Tugas Nusaybah adalah untuk merawat dan menjaga kebajikan tentera muslim dalam pertempuran. Bagi Nusaybah, dengan Islam dia percaya seseorang wanita itu mempunyai peranan dan tanggungjawab dalam mempertahankan agama.
Kisahnya yang paling banyak diceritakan adalah berkaitan peperangan Uhud. Pada awalnya, Nusaybah yang turut serta dalam pertempuran itu hanya bertugas untuk merawat askar yang cedera, selain membawakan air untuk mereka.
Namun, ketika musuh Islam mula kelihatan memenangi pertempuran itu, Nusaybah telah mara bersama pedang dan busur, turut serta dalam peperangan itu. Beliau bertindak menjadi perisai untuk melindungi Rasulullah s.a.w.
Malah, ketika Ibnu Qumai’ah datang untuk membunuh Rasulullah, dengan berani Nusaybah mara untuk melindungi Nabi. Kerana ini Nabi Muhammad pernah bersabda. “Ke mana saja aku berpaling, ke kiri atau kanan, aku melihat dia berjuang mempertahankan aku.”

Nusaybah akan menarik tali kuda musuh hingga penunggangnya jatuh. Dia juga melemparkan batu kepada tentera musuh. Anaknya, Abdullah juga turut serta dalam peperangan itu.
Ketika Abdullah cedera, Nusaybah tetap memberi semangat untuk anaknya bangkit dan terus melawan. Nusaybah sendiri juga banyak mengalami kecederaan sewaktu melawan musuh, sehingga Rasulullah bersabda, “Wahai Abdullah (anak Nusaybah), balutlah luka ibumu. Ya Allah, jadikanlah Nusaybah dan anaknya sebagai sahabatku di dalam syurga.”
Nusaybah mengalami kecederaan teruk dalam pertempuran itu sehingga rebah tidak sedarkan diri. Apabila sedar, pertanyaan pertama yang muncul di mulutnya ialah, “Adakah Rasulullah selamat?” Tidak hairanlah mengapa Nusaybah turut digelar sebagai perisai Rasulullah.
Bukan hanya dalam pertempuran Uhud, Nusaybah juga terlibat dalam banyak peristiwa lain. Antaranya perjanjian Aqabah, perjanjian Hudaybiyah, pertempuran Khaybar, pertempuran Yamamah dan pertempuran Hunayn.
Setelah Rasulullah s.a.w wafat, Nusaybah terus berbakti di zaman pemerintahan Abu Bakar Al Siddiq dan Umar bin Al Khattab. Beliau disegani oleh kedua-dua khalifah tersebut kerana peranan dan pengorbanannya.
Dalam pertempuran Yamamah pada zaman Khalifah Abu Bakar, Nusaybah bukan saja luka teruk, malah turut kehilangan tangannya.
Nusaybah dikenali sebagai wanita yang berani untuk syahid demi melindungi Rasulullah. Dia tidak takut untuk berada di medan perang dan pantang menyerah selagi masih bernafas.
Nusaybah binti Kaab wafat pada tahun ke 13 Hijriah, beberapa tahun selepas perang Yamamah. Jenazahnya dimakamkan di perkuburan Al-Baqi di Mekah.
Kisah Nusaybah membuktikan bahawa seorang wanita bukan sekadar melaksanakan kewajipan sebagai isteri dan ibu, tetapi juga boleh berjuang demi mempertahankan agama.
___
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

