KAPAL Conscience yang membawa lapan daripada sembilan aktivis Malaysia dalam misi kemanusiaan Freedom Flotilla Coalition dan Thousand Madleens to Gaza (FFC x TMTG) dilapor telah dipintas rejim zionis dengan menggunakan helikopter.
Perkembangan itu dikongsikan Ketua Pegawai Eksekutif Humanitarian Care Malaysia (MyCARE), Kamarul Zaman Shaharul Anwar dalam sidang media khas, hari ini.
Menurut Kamarul Zaman, lapan lagi kapal layar yang turut serta dalam misi tersebut pula diserbu menggunakan jalan laut.
“(Pintasan) kapal layar itu memang daripada (arah) laut.
“Kapal Conscience pula kalau kita lihat menerusi siaran langsung kamera litar tertutup (CCTV) rambut berterbangan, ada bunyi helikopter dan sebagainya.
“Jadi, kita menjangkakan kapal itu telah dipintas menggunakan helikopter kerana Conscience adalah kapal yang tinggi,” katanya.
Lapan aktivis Malaysia yang menaiki kapal Conscience itu terdiri daripada ketua misi, Prof Emeritus Dr Mohd Alauddin Mohd Ali, Dr Fauziah Hassan, Dr Hafiz Sulaiman, Dr Ili Syakira Mohd Suhaimi dan wartawan, Syafik Shukri Abdul Jalil.
Baca artikel lain: Kapal misi FFCxTMTG terputus hubungan pukul 10.03 pagi, sembilan rakyat Malaysia ditahan
Dua lagi aktivis ialah pensyarah, Prof Dr Mohd Afandi Salleh dan Dr Noorhasyimah Ismail serta Ahli Lembaga Pemegang Amanah MyCARE, Norsham Abu Bakar.
Selain itu, kapal Umm Saad pula dinaiki seorang lagi wakil Malaysia iaitu Dr Maziah Muhammad
Mengulas lanjut, Kamarul Zaman turut menyifatkan, pencerobohan rejim zionis ke atas sembilan kapal itu sebagai agak mengejutkan kerana kedudukan semua kapal tersebut berada di 120 batu nautika dari perairan Gaza.
Beliau berkata, kebiasaannya tentera Israel akan memintas kapal misi kemanusiaan pada kedudukan di bawah 100 batu nautika.
Namun begitu, kata beliau, kapal Conscience ada berkongsikan tentang kehadiran dron pada pukul 3.30 pagi waktu tempatan.
Pada masa sama, Kamarul Zaman memberitahu, terdapat maklumat daripada kapal-kapal lain mengatakan terdapat bot laju menghala ke arah Conscience.
“Kita tak jangka seawal ini mereka (Israel) akan memintas semua kapal itu kerana selalunya sebelum ini mereka akan memintas apabila berada di kedudukan bawah 100 batu nautika.
“Conscience berada pada kedudukan 120 batu nautika, jauh lagi daripada kawasan yang selalu dipintas,” katanya.
Katanya, pasukan peguam Pusat Undang-Undang bagi Hak Minoriti Arab di Israel (ADALAH) sudah dimaklumkan mengenai penahanan itu dan bersedia mendapatkan maklumat lanjut mengenai perkara itu.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

