Suami pengasas Dnars nafi dakwaan sembunyi wang tunai RM1.3 Juta

Dari Penulis

Suami kepada pengasas produk kecantikan Dnars, Allahyarham Faziani Rohban Ahmad, iaitu Ahmad Shah Rizal Ibrahim, menafikan dakwaan kononnya beliau menyembunyikan wang tunai berjumlah RM1.3 juta yang dikatakan milik arwah isterinya.

Menurut Ahmad Shah Rizal, tuduhan tersebut tidak berasas kerana wang itu merupakan hasil usaha bersama antara beliau dan arwah semasa hayatnya.

“Wang tersebut ialah hasil usaha bersama saya dan arwah isteri semasa hayatnya. Bahkan, saya sendiri secara sukarela mengisytiharkan keberadaannya semasa mesyuarat keluarga selepas pemergian Allahyarham.

“Sebagai menghormati keputusan mahkamah, saya telah memindahkan RM1.3 juta itu ke dalam akaun bank pentadbir pusaka yang dikendalikan bersama saya dan anak tiri. Dakwaan saya makan harta anak yatim atau melarikan hak mereka adalah tidak benar dan bersifat fitnah,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu sidang media khas mengenai isu wang tunai milik arwah Faziani yang diadakan di Aperture Café, Taman Tun Dr. Ismail (TTDI), di sini.

Ahmad Shah Rizal turut memaklumkan bahawa beliau telah mengarahkan peguamnya memulakan tindakan undang-undang terhadap pihak yang terus menyebarkan dakwaan palsu di media sosial.

“Saya telah arahkan peguam untuk memulakan tindakan undang-undang kali kedua bagi mempertahankan nama baik saya. Untuk makluman, saya juga telah saman beberapa pihak pada tahun 2022 atas fitnah yang sama dan kini hanya menunggu keputusan mahkamah pada Januari 2026.

“Langkah sama akan diambil supaya tiada pihak terus memanipulasi isu ini untuk kepentingan sendiri atau bagi tujuan kandungan media sosial,” tegasnya.

Sementara itu, peguam Ahmad Shah Rizal, Khairunnasriah Abdul Salam daripada Tetuan Zaidah Abdul Salam & Co., menjelaskan bahawa segala keputusan berkaitan wang tunai berkenaan hanya akan dibuat selepas urusan harta sepencarian selesai.

“Segala-galanya perlu mengikut proses perundangan termasuk keputusan berkaitan wang tunai itu. Kita tunggu hal harta sepencarian selesai barulah isu RM1.3 juta ini diputuskan. Buat masa ini, tiada mana-mana pihak boleh menyentuhnya,” katanya.

Sebelum ini, Mahkamah Tinggi Syariah dilaporkan mengarahkan Ahmad Shah Rizal mengemukakan penjelasan bertulis berhubung kegagalannya memulangkan wang RM1.3 juta seperti diperintahkan pada 13 Ogos lalu.

Bagaimanapun, beliau menjelaskan bahawa tidak menerima sebarang surat rasmi berkaitan arahan itu dan menegaskan wang tersebut masih dalam simpanannya serta belum digunakan.

Untuk rekod, Allahyarham Faziani Rohban Ahmad meninggal dunia pada 18 Mei 2019 selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) yang dinaikinya terbabit dalam kemalangan di Pattani, Thailand.

Dalam kejadian tragis itu, Faziani dilaporkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah, manakala suaminya, Ahmad Shah Rizal, mengalami kecederaan. Pasangan itu ketika itu dalam perjalanan untuk menyampaikan sumbangan kepada anak-anak tahfiz sempena bulan Ramadan.


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

WhaleBuy perkukuh kedudukan serantau dengan pembukaan ibu pejabat global di Kuala Lumpur

WhaleBuy Group melakar satu lagi pencapaian penting dalam perjalanan pengembangannya apabila secara rasmi membuka ibu pejabat global syarikat itu...

More Articles Like This