Universiti Poly-Tech Malaysia (UPTM) terus mengukuhkan kedudukan di peringkat serantau apabila dipilih sebagai rakan strategik kepada Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) serta Institut Kemajuan Desa (INFRA) bagi menganjurkan Majlis Makan Malam Penutup atau Networking Dinner sempena program ASEAN Multistakeholder Dialogue, ASEAN Master Plan on Rural Development dan ASEAN+3 Forum on Women and Digitalisation 2025.
Naib Canselor UPTM, Prof. Madya Dr. Sharifah Syahirah Sy. Shiekh berkata, penyertaan universiti itu dalam acara berprestij peringkat serantau menunjukkan komitmen UPTM untuk menjadi universiti yang bertaraf antarabangsa, inklusif dan berdaya saing di peringkat ASEAN dan Asia.

“Melalui kerjasama dengan KKDW dan INFRA, UPTM berpeluang menonjolkan kepakaran akademik, kemahiran pelajar serta inisiatif penyelidikan yang menyokong pembangunan mampan komuniti serantau.
“Pengiktirafan ini turut mengangkat peranan UPTM sebagai universiti MARA kedua selepas UniKL yang aktif menggerakkan pelbagai inisiatif strategik di peringkat ASEAN. Ia sekali gus mengukuhkan reputasi UPTM sebagai institusi pendidikan tinggi yang progresif dan mempunyai potensi besar untuk terus berkembang di peringkat antarabangsa.” katanya kepada media.
Sharifah Syahirah turut menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada KKDW dan INFRA atas kepercayaan yang diberikan untuk menjadi hos bersama acara berprestij ini.
“Pihak universiti percaya bahawa sinergi seperti ini akan terus memacu kejayaan bersama dalam memperkukuh ekosistem pendidikan serta pembangunan sosioekonomi serantau pada masa hadapan,” tambahnya lagi.

Forum tersebut menumpukan kepada usaha memperkasa wanita luar bandar melalui penglibatan digital sebagai langkah penting ke arah pembangunan mampan.
Inisiatif ini turut memperkukuh kerjasama serantau ASEAN dalam memperkasa peranan wanita melalui teknologi dan inovasi, di samping menutup jurang digital antara jantina khususnya dalam kalangan komuniti luar bandar. Usaha ini selaras dengan hasrat Malaysia untuk menjadi peneraju dalam agenda keterangkuman digital di peringkat ASEAN.
Penganjuran forum yang bertemakan “Empowering Rural Women through Digital Inclusion for Sustainable Futures” itu memberi tumpuan kepada pelbagai aspek pemerkasaan wanita dalam era digital, termasuk pembangunan literasi digital, peningkatan kemahiran komuniti luar bandar, dan peluang ekonomi melalui teknologi baharu.
Forum ini diadakan sekali dalam sedekad, menjadikannya platform bersejarah untuk Malaysia mengetuai wacana digitalisasi wanita di rantau ASEAN. Ia juga menyokong komitmen global terhadap Matlamat Pembangunan Mampan (SDG 5) yang menekankan kesamarataan gender dan pemerkasaan wanita.

Forum tersebut turut menampilkan beberapa tokoh akademik UPTM termasuk Prof. Ts. Dr. Zahrah Yahya, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Pengantarabangsaan), Prof. Datuk Dr. Rashila Ramli, Fellow Professor UPTM, serta Naib Canselor sendiri yang bertindak sebagai panel dan moderator.
Penganjuran majlis berimpak tinggi ini menjadi platform penting bagi UPTM dalam memperkukuh kedudukan sebagai rakan strategik serantau dalam bidang akademik dan profesional, khususnya dalam membina jaringan kolaborasi bersama universiti, agensi kerajaan dan sektor industri di peringkat ASEAN dan Asia.
Bertemakan “ASEAN Cultural Harmony Night: Celebrating Traditions, Strengthening Ties”, majlis berkenaan menghimpunkan lebih 200 delegasi antarabangsa dari negara-negara ASEAN dan rakan dialog ASEAN+3 iaitu China, Jepun dan Korea Selatan. Acara ini merupakan kemuncak kepada siri forum dan dialog serantau yang berlangsung dari 7 hingga 9 Oktober lalu di bawah naungan KKDW dan INFRA dengan UPTM bertindak sebagai hos akademik dan pelaksana strategik.

