DUNIA hiburan tanah air sekali lagi dikejutkan dengan pemergian penyanyi dan juga naib juara Akademi Fantasia Musim Keempat (AF4), Lotter Edwin Edin yang meninggal dunia pada jam 10.50 malam semalam di Hospital Queen Elizabeth, Sabah akibat penyakit tiroid.
Berita duka itu disahkan rakan artis tempatan Sabah, Maldini, yang juga sahabat karib mendiang.
“Tiada sudah Lotter, artis kesayangan kita,” tulisnya dalam satu hantaran yang turut meraih perhatian peminat dan rakan-rakan seperjuangan.
Difahamkan, Lotter, 44, sudah lama bertarung dengan penyakit tersebut namun memilih untuk tidak menghebohkannya kepada umum.
Menurut sumber terdekat, mendiang kekal ceria dan aktif seperti biasa walaupun sedang menjalani rawatan. Keadaannya yang tidak menunjukkan tanda-tanda lemah membuatkan berita pemergian itu cukup mengejutkan ramai pihak.
“Dia seorang yang kuat, sentiasa tersenyum walau dalam kesakitan. Tak sangka begitu cepat dia pergi,” ujar seorang rakan rapat.
Difahamkan juga, Lotter baru sahaja bertunang dan sedang membuat persiapan untuk melangsungkan perkahwinan dalam masa terdekat.
Bakat Lotter mula menyerlah selepas penyertaannya dalam AF4 pada tahun 2006. Ketika itu, beliau berusia 25 tahun dan berjaya menamatkan pertandingan sebagai naib juara, di belakang juara musim berkenaan, Faizal AF4 dari Terengganu.
Selepas program tersebut, Lotter terus aktif dalam dunia hiburan, khususnya di Sabah, dengan persembahan pentas, rakaman lagu dan acara kebajikan seni.
Pemergian beliau meninggalkan kesan mendalam kepada peminat serta rakan industri yang mengenalinya sebagai seorang penghibur yang ceria, rendah diri dan penuh semangat.
Jenazah mendiang difahamkan akan disemadikan di Sabah selepas urusan hospital diselesaikan.

