Jelajah Sabah Tanpa Batasan, STB Buka Pintu Pelancongan Untuk Komuniti Pekak

Dari Penulis

Percutian itu bukan sekadar menukar destinasi, tetapi menukar perspektif. Dunia pelancongan kini menuntut pengalaman yang lebih mendalam, bermakna dan yang paling penting, ia boleh diakses oleh sesiapa sahaja.

Dalam semangat menyambut Hari Pekak Sedunia pada 28 September lalu, Lembaga Pelancongan Sabah (STB) telah mengambil langkah proaktif demi memastikan keindahan dan keramahan Sabah dapat dinikmati sepenuhnya oleh komuniti pekak dan kurang pendengaran. Pendek kata, Sabah mahu menjadi destinasi ‘Mesra Orang Pekak’.

Inisiatif keterangkuman STB ini bukan hanya sekadar kertas kerja, tetapi telah dihidupkan melalui kerjasama komuniti.

Pada awal tahun ini, STB bekerjasama dengan Persatuan Orang Pekak Sabah (SSD) dan Politeknik Kota Kinabalu bagi menganjurkan acara Lampoopalooza, satu festival tahunan muzik, cahaya dan seni yang bertujuan memperkasakan komuniti serta memupuk kesedaran positif terhadap kepelbagaian.

Acara ini mencipta sejarah tersendiri apabila kakitangan STB berganding bahu dengan komuniti pekak untuk mempersembahkan persembahan pembukaan menggunakan Bahasa Isyarat Malaysia (BIM).

Konsert turut dilengkapi jurubahasa isyarat bagi memastikan setiap pengunjung, termasuk yang kurang pendengaran, dapat menikmati pengalaman yang sama.

Pelajar dari program Sijil Khas Operasi Katering di Politeknik Kota Kinabalu juga memainkan peranan aktif sebagai penyedia makanan dan minuman, membuktikan bahawa keterangkuman bukan sekadar konsep, tetapi realiti yang boleh diwujudkan melalui peluang sebenar.

Kafe Pop-Up Coffea oleh Pelajar Pekak Politeknik Kota Kinabalu.

STB sedar, perubahahan perlu bermula dari dalam. Mereka telah melaksanakan inisiatif latihan asas Bahasa Isyarat Malaysia (BIM) secara berperingkat dengan bimbingan jurulatih mahir dari SSD.

Sehingga kini, seramai 37 kakitangan STB telah dilatih untuk berinteraksi dengan komuniti kurang pendengaran. Langkah ini adalah satu pelaburan penting dalam meningkatkan mutu perkhidmatan pelanggan di sektor pelancongan Sabah.

Keberkesanan latihan ini terbukti apabila pasukan STB mula menerima pelawat pekak semasa pameran pelancongan besar seperti Matta Fair di Kuala Lumpur dan Johor Bahru. Akhirnya, wujud ruang komunikasi dua hala yang lebih mesra.

CEO STB, Julinus Jeffery Jimit (tengah) bersama Presiden SSD, Liau Kee Siong dan ahli-ahli OKU pekak semasa lawatan pengenalan bersama LPS dan STGA ke Tapak Ramsar Tanah Bencah Kota Kinabalu pada bulan April.

Selain itu, STB turut berkolaborasi dengan Persatuan Pemandu Pelancong Sabah (STGA) untuk menganjurkan lawatan pengenalan khas. Seramai 30 ahli SSD menyertai lawatan separuh hari ke Tapak Ramsar Tanah Bencah Kota Kinabalu. Ini bukan sekadar lawatan biasa, tetapi pengalaman langsung tentang potensi besar pelancongan mesra OKU yang ada di Sabah.

Kakitangan STB bersama Encik Choong (seorang individu pekak) di Matta Fair Johor Bahru baru-baru ini.

Langkah-langkah ini jelas menunjukkan komitmen jangka panjang STB dalam membina persekitaran pelancongan yang inklusif, selari dengan Visi ASEAN 2025 yang menekankan komuniti berpusatkan rakyat.

Dari latihan staf, perancangan acara, hingga kerjasama komuniti, STB sedang mengorak langkah ke arah masa depan yang lebih cerah. Sabah bukan sahaja mahu dikenali sebagai destinasi pelancongan utama, tetapi juga sebagai model pelancongan inklusif dan mudah diakses di seluruh rantau.


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Berkaitan

Gen Z tidak miskin pendapatan tetapi bergelut dalam realiti kehidupan

Felo Penyelidik Pasca Doktoral di Pusat Pengajian Pembangunan Ungku Aziz (UAC), Universiti Malaya, Dr. Nik Zirwatul Fatihah. Pensyarah Kanan di...

More Articles Like This