Hisshhh…! Kalau nak cerita yang sedap, memang kedua-duanya sedap. Asam pedas Melaka mahu pun asam pedas Johor, keduanya ada keistimewaan tersendiri. Betul tak? Ada yang berempah, ada yang tidak.
Ada pula yang kata, “Asam pedas Muo, guna daun kesum, asam pedas Melaka guna daun limau,”. “Asam pedas Johor lebih pekat dari asam pedas Melaka,” Haaaa…macam-macam kan!
Apa pun pandangan dan pendapat, itu subjektif. Apa yang paling penting, bahan-bahan yang digunakan itu, diolah menjadi menu asam pedas yang sedap, ye tak? Pekat atau cair itu, terpulang.. ikutlah selera masing-masing.
Bahan asas untuk asam pedas, antaranya bawang merah, bawang putih, halia, kunyit, cili kisar dan asam jawa. Belacan itu pilihan, jika suka letak. Tak suka, tidak menjadi satu kesalahan besar pun.
Ini salah satu rahsia atau petua, menjadikan asam pedas kita sedap, iaitu cara kita menumis. Minyak perlu banyak, tumis bahan asas kisar sehingga wangi dan garing. Barulah masukkan cili kisar, tumis lagi sehingga pecah minyak. Ada yang bertanya, macamana rupanya pecah minyak tu?
Tumisan itu mestilah warna merah gelap dan berkilat. Cantik warnanya… barulah sedap asam pedas itu nanti. Kalau nak masak sambal pun begitu caranya. Itulah dinamakan pecah atau terbit minyak. Selepas itu, barulah masukkan daun kesum, bunga kantan masak sehingga mendidih. Asam jawa jangan lupa! Letak pekat-pekat, jangan pula letak asam keping. Kurang sedap, asam pedas kau tu nanti dik!
Pilihan ikan yang segar seperti kembung, siakap, tenggiri, jenahak dan pari. Ini antara jenis ikan yang sedap untuk asam pedas. Kalau orang Johor, suka ikan mayong dan ikan parang. Apabila kuah sudah mendidih, masukkan ikan dan bendi atau tomato, biarkan mereneh selama 10 minit dan terus matikan api agar ikan tidak hancur. Selebihnya seimbangkan rasa di antara masam dan pedas. Barulah kaw kaw rasanya!
Saji kongsikan resipi asam pedas tenggiri terung telunjuk. Sedikit perbezaan cara olahan ikan tenggiri yang digoreng separuh masak, tujuannya agar isi ikan tidak hancur.
Asam Pedas Tenggiri Terung Telunjuk
BAHAN
500 gm ikan tenggiri
3 sudu besar cili kisar
2 batang serai – ketuk
10 biji terung telunjuk
½ cawan air asam jawa
1 sudu besar rempah campur
1 ikat daun kesum
2 kuntum bunga kantan
Minyak masak untuk menumis
BAHAN KISAR
4 ulas bawang merah
4 ulas bawang putih
2 cm halia
2 cm kunyit hidup
CARA PENYEDIAN
- Ikan tenggiri yang telah dibersihkan, digaulkan ikan dengan kunyit dan garam. Kemudian goreng sehingga separuh masak. Angkat dan ketepikan.
- Panaskan minyak, tumis bahan kisar dan rempah campur sehingga naik wangi dan garing.
- Masukkan cili kisar, tumis sehingga pecah minyak, masukkan daun kesum dan bunga kantan.
- Kemudian masukkan pula air asam jawa dan perisakan dengan gula dan garam, secukup rasa.
- Masukkan terung telunjuk dan biarkan empuk. Kemudian barulah masukkan ikan tenggiri. Kacau seketika dan biarkan sehingga ikan masak.

Penulis merupakan Pengarang SAJI di UtusanTV dengan pengalaman lebih 23 tahun dalam bidang kewartawanan. Kerjaya penulisan bermula pada tahun 1996 di HVD Film Production (M) Sdn Bhd sebagai penulis skrip selama tujuh tahun. Seterusnya, penulis menyertai Utusan Karya Sdn Bhd pada tahun 2003 sebagai wartawan dan jawatan terakhir sebagai Pengarang SAJI. Pada tahun 2023 bertugas di Utusan Binders Sdn.Bhd. di bawah jenama UtusanTV sehingga kini.
Sepanjang kerjaya, penulis berkemahiran dalam penulisan dan liputan pelbagai isu, khususnya berkaitan pemakanan. Selain mencipta resipi, penulis juga terlibat dalam penerbitan buku resipi untuk chef-chef, menjadi juri pertandingan masakan, serta aktif dalam penganjuran acara dan program CSR.
Sebarang jemputan acara, kerjasama bagi event & CSR, pelancaran produk atau sidang akhbar boleh diajukan melalui e-mel: [email protected].

