Sos Thousand Island boleh dilabelkan antara sos yang sering menjadi pilihan peminat salad. Kenapa sos Thousand Island ini popular? Sebabnya sos ini mudah disesuaikan untuk pelbagai jenis makanan. Tidak pedas dan mesra selera antara salah satu sebab sos Thousand Island ini menjadi lebih istimewa.
Nampak macam sos biasa, tetapi mempunyai keunikan rasanya yang tersendiri. Gabungan mayonis, sos tomato, sos cili, cincangan jeruk dan telur rebus menyerlahkan rasa manis, berkrim dan sedikit masam.
Menariknya, sos Thousand Island ini di ambil sempena nama dari gugusan 1,800 pulau-pulau kecil sekitar Sungai St.Lawrence bersempadan kawasan antara Amerika Syarikat dan Kanada. Sos ini dikatakan dicipta pada awal 1900-an oleh seorang penduduk kampung bernama Sofia Lalonde yang menetap di kawasan Thousand Island.
Suatu hari, dia mencampurkan mayonis, sos tomato dan jeruk cincang untuk dijadikan sos dan dihidangkan kepada suaminya yang bekerja sebagai nelayan. Tanpa disangka, gabungan itu menghasilkan sos yang sangat sedap dan disukai suaminya.
Sos ini kemudian disajikan kepada golongan elit yang datang bercuti ke kawasan tersebut. Resipi ini akhirnya, diperkenalkan kepada chef-chef hotel sehinggalah sos ini terkenal ke seluruh dunia. Sebenarnya resipi yang hebat, tak semestinya datangnya dari bahan-bahan yang premium tetapi dari kreativiti dan airtangan yang jujur ikhlas.
SOS THOUSAND ISLAND
BAHAN
500 gm mayonis
5 sudu besar sos cili
2 sudu besar sos tomato
2 batang timun jeruk
1 sudu kecil capers – jika suka
2 biji telur rebus
Setangkai daun parsli – cincang halus
Sedikit garam dan lada sulah
CARA PENYEDIAAN
- Timun jeruk dan capers di cincang halus dan ketepikan.
- Telur rebus (putih dan kuning) juga di cincang halus.
- Satukan mayonis, sos cili, sos tomato, daun parsli, telur rebus, timun jeruk dan capers di dalam satu bekas dan kacau rata. Taburkan garam dan lada sulah, sebatikan rasa.
- Masukkan ke dalam bekas bersih dan dinginkan. Sedia untuk dihidangkan.

Penulis merupakan Pengarang SAJI di UtusanTV dengan pengalaman lebih 23 tahun dalam bidang kewartawanan. Kerjaya penulisan bermula pada tahun 1996 di HVD Film Production (M) Sdn Bhd sebagai penulis skrip selama tujuh tahun. Seterusnya, penulis menyertai Utusan Karya Sdn Bhd pada tahun 2003 sebagai wartawan dan jawatan terakhir sebagai Pengarang SAJI. Pada tahun 2023 bertugas di Utusan Binders Sdn.Bhd. di bawah jenama UtusanTV sehingga kini.
Sepanjang kerjaya, penulis berkemahiran dalam penulisan dan liputan pelbagai isu, khususnya berkaitan pemakanan. Selain mencipta resipi, penulis juga terlibat dalam penerbitan buku resipi untuk chef-chef, menjadi juri pertandingan masakan, serta aktif dalam penganjuran acara dan program CSR.
Sebarang jemputan acara, kerjasama bagi event & CSR, pelancaran produk atau sidang akhbar boleh diajukan melalui e-mel: [email protected].

