Fenomena aneh 1888, ribuan biri-biri serentak lari ketakutan. Misteri yang tidak terjawab sehingga kini

Dari Penulis

Kita biasa dengar manusia panik, tapi pernahkah dengar tentang kejadian haiwan yang tiba-tiba panik? Kedengaran aneh namun inilah kejadian yang pernah berlaku apabila ribuan kambing tiba-tiba melarikan diri sehingga fenomena ini digelar ‘The Great Sheep Panic’.

Pada petang 3 November 1888, keadaan di kampung-kampung kecil di Oxfordshire, England tenang seperti biasa. Semua haiwan ternakan telah dikurung rapi.

Sekitar pukul lapan malam, penduduk mendengar sesuatu yang aneh. Bunyi seperti ribuan kaki dan pekikan ganjil, seakan ada suatu kawanan yang besar sedang berlari di luar rumah mereka.

Apabila mereka menjenguk keluar, apa yang terpampang di mata adalah sesuatu yang pelik. Puluhan ribu ekor kambing biri-biri tiba-tiba mengamuk dan berlari tanpa arah, melanggar pagar, melompat tembok batu, malah merempuh kandang sehingga pecah.

Sekelip mata, malam yang tenang berubah menjadi kekacauan yang luar biasa. Ia antara peristiwa pelik yang berlaku dan masih menjadi misteri mengapa ribuan kambing itu menjadi panik sebegitu sekali.

Keesokan paginya, para penternak mendapati kambing-kambing mereka telah hilang entah ke mana. Ada yang dijumpai bersembunyi di bawah semak, ada yang berdiri kaku di tengah jalan dengan nafas tercungap-cungap, manakala sebahagian lain berkumpul ketakutan di sudut padang.

Kawasan seluas lebih 200 batu persegi dilaporkan terjejas akibat fenomena pelik itu, dari Wallingford hingga ke Twyford. Hampir semua petani di kawasan itu mengalami hal yang sama.

Tulisan seorang petani tentang kejadian itu pernah disiarkan dalam majalah sains popular Science-Gossip.

“Skala kejadian ini dapat dibayangkan apabila setiap petani besar dari Wallingford hingga ke Twyford melaporkan bahawa biri-biri mereka turut ketakutan, dan hampir semua kawasan berbukit di utara Sungai Thames paling terjejas.”

Apa Puncanya?

Tiada siapa tahu punca sebenarnya. Teori awal menuding kepada kanak-kanak nakal, tetapi mustahil sekumpulan budak kecil mampu menakutkan kambing biri-biri di puluhan kampung secara serentak.

Ada juga yang menyalahkan anjing liar atau musang, namun bagaimana mungkin pemangsa itu muncul pada masa yang sama di seluruh kawasan?

Lalu muncul teori yang lebih besar. Mungkin ia berlaku kerana fenomena alam. Kilat yang kuat, gegaran bumi, atau jatuhan meteorit yang mampu menakutkan haiwan. Namun, malam itu cuaca tenang. Hanya satu catatan saksi menyebut langit amat gelap dengan sedikit kilat di kejauhan. Adakah kegelapan luar biasa itu cukup untuk membuat puluhan ribu biri-biri berlari ketakutan serentak?

Sifat semula jadi kambing biri-biri menjelaskan sedikit misteri ini. Sebagai haiwan mangsa, mereka hidup berkelompok dan memiliki naluri kuat untuk mengikut satu sama lain demi keselamatan. Jika seekor terkejut, yang lain akan menuruti, mencetuskan reaksi berantai panik yang tidak dapat dikawal.

Pada tahun 2006 di Turki, 400 ekor biri-biri mati selepas terjun ke dalam jurang, hanya kerana mengikut seekor yang panik terlebih dahulu. Jadi, adakah kejadian panik tahun 1888 juga berpunca daripada seekor yang terkejut terlebih dahulu, lalu menyebabkan rantaian panik seluruh kawanan? Namun yang anehnya, bagaimana ia boleh merebak ke kawasan lain pula?

Seorang pengkaji alam, Oliver Vernon Aplin yang menyiasat kejadian susulan pada tahun 1893, percaya kegelapan melampau menjadi puncanya.

Katanya, pada malam kejadian digambarkan langit benar-benar hitam pekat, bulan seolah-olah lenyap, cahaya langsung tiada. Aplin percaya walaupun kambing biri-biri boleh melihat dalam gelap, namun apabila terlalu gelap, mereka boleh berasa terperangkap dan menimbulkan rasa panik.

Dalam keadaan itu, kawanan yang sesak dalam kandang mula bergerak tanpa arah, saling bertembung antara satu sama lain atau dengan dinding kandang. Hanya seekor yang mula berlari kerana takut, ia mencetuskan reaksi domino, seluruh kawanan akan panik dan melarikan diri daripada bahaya yang mereka rasakan sedang memburu mereka.

Namun, walaupun teori Aplin boleh diterima logik akal, ia masih tidak mampu menjawab persoalan paling besar – bagaimana kawanan kambing di kawasan seluas itu boleh panik pada waktu yang sama?

Hingga kini, persoalan itu kekal menjadi misteri yang tidak berkesudahan. The Great Sheep Panic 1888 menjadi salah satu peristiwa pelik yang tidak masuk akal yang tercatat di England.

__

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

Kecoh dakwaan Kuil Ular jadi tempat memohon hajat orang Islam, Malar dedah cerita sebenar

Isu berkaitan sebuah rumah ibadat yang dikenali sebagai Kuil Ular kembali menjadi perbualan di media sosial. Sebelum ini, Mastika mendapat...

More Articles Like This