Juara Travel & Tours Sdn. Bhd. meraikan ulang tahun ke-25 penubuhannya melalui Majlis Gemala Juara – Sambutan 25 Tahun & Apresiasi Alumni Haji, yang menghimpunkan lebih 450 alumni haji serta rakan strategik dari dalam dan luar negara.
Pengarah Urusan Juara Travel, Rosnah Wagino berkata, kejayaan ini bukan sekadar tentang angka, tetapi mencerminkan kepercayaan yang diberikan oleh pelanggan sepanjang 25 tahun.

“Majlis ini bagi meraikan alumni haji sempena sambutan ke-25 tahun Juara Travel. Dan tujuan utama ialah untuk menjalin ukhwah dan persefahaman bersama syarikat-syarikat yang terus menyokong kami selama ini.
“Selama 25 tahun, Juara Travel kekal sebagai peneraju dalam industri umrah, haji dan pelancongan, berpaksikan kepercayaan pelanggan, keutuhan jenama serta komitmen terhadap kecemerlangan perkhidmatan.
“Kami akan terus memperkukuh strategi dan memperluas rangkaian antarabangsa agar setiap pelanggan menikmati pengalaman perjalanan yang selesa, berkualiti dan diyakini,” katanya.

Dalam pada itu, Juara Travel turut pemeteraian perjanjian strategik bernilai RM30.9 juta bersama Saudi Airlines, yang memperuntukkan 10,000 tempat duduk penerbangan khas bagi jemaah dan pelanggan Juara Travel.
Dua lagi kerjasama penting turut dimeterai bersama Muassasah Matrafy dan Saraya Al Ansar International Company di Tanah Suci, bagi memperkukuh penginapan, pengangkutan dan kebajikan jemaah.
“Perjanjian ini sekaligus memberikan keyakinan kepada bakal Jemaah bahawa Juara Travel komited dalam menawarkan perkhidmatan yang selesa dan pasti ‘terbang’.
“Inisiatif ini sinonim dengan slogan Kami iaitu ‘Umrah Terbimbing, Kebajikan Terjamin’. Tidak kira mereka memilih pakej yang murah, sederhana atau mahal, perkhidmatan dan layanan yang diberikan tetap sama dan yang terbaik. Apa yang berbeza ialah intipati di dalam pakej seperti jarak hotel, penerbangan dan jumlah hari,” tambahnya lagi.

Sejak menerima lesen rasmi sebagai Pengelola Jemaah Haji Tabung Haji pada tahun 2018, Juara Travel terus mengekalkan kepercayaan tersebut dan kini telah memperoleh lesen pengelola bagi tahun 2026.
“Syukur kami terus diberikan kepercayaan untuk terus menjadi pengelola Jemaah Haji Tabung Haji 2026. Dan sejak tujuh tahun lalu kami telah mengurus lebih 1,200 jemaah haji serta 148,000 jemaah umrah,” katanya lagi.
Bagi musim haji 2026, Juara Travel memperkenalkan empat kategori pakej iaitu Ekonomi, Standard, Premium dan Premium Plus dengan harga bermula RM47,890 hingga RM125,000, bergantung kepada kemudahan dan lokasi penginapan.

Sebagai tanda penghargaan kepada pelanggan setia, Juara Travel turut memperkenalkan Kad Touch ‘n Go Loyalty Programme yang menawarkan pelbagai diskaun dan ganjaran eksklusif bagi setiap pendaftaran pakej umrah, haji atau pelancongan.
Tidak ketinggalan, kempen ‘25 Tahun Kekal Juara Bonanza’ dilancarkan khusus buat pelanggan yang akan berlangsung dari November 2025 hingga November 2026. Antara hadiah utama yang menanti termasuk dua buah Perodua Axia, sepuluh pakej Umrah percuma, lima pakej percutian ke Turki, dua motosikal Honda Wave, serta pelbagai hadiah menarik lain.

