“JANGAN takut untuk rugi”. Demikian kata-kata seorang peniaga gerai yang menetapkan harga jualan makanan lebih murah berbanding peniaga-peniaga yang lain.
Peniaga tersebut, Abdul Rahman Abdullah, 54 tahun atau lebih dikenali sebagai Man Black berkata, beliau menetapkan harga makanan yang murah kerana mengenangkan nasibnya dahulu yang tidak berkemampuan untuk berbelanja mewah.
Katanya, kenangan itu membuatkannya nekad untuk membantu golongan yang kurang berkemampuan membeli makanan murah di gerainya.
“Saya dah berniaga di sini lebih 10 tahun. Sebenarnya jual roti canai RM1 ini kerana saya dahulu orang susah. Zaman saya nak makan dulu pun terseksa. Macam tu la zaman sekarang pun ramai orang susah.

“Jadi, bila saya jual RM1 tidak akan rugi, yang penting doa pelanggan. Teh O Ais RM1, nasi goreng dan mee goreng pula hanya RM2. Setiap hari roti canai yang terjual lebih 1,000 keping,” katanya kepada UtusanTV.
Mengulas lanjut, Abdul Rahman berkata, beliau menghasilkan sendiri doh roti canai secara manual tanpa menggunakan mesin.
Selain popular dengan roti canai, gerainya juga terkenal dengan nasi lemak berharga RM1.50 yang terjual lebih 300 bungkus dalam tempoh dua jam setiap hari.
“Kedai mula beroperasi bermula 6 pagi sehingga 11.30 pagi setiap hari. Kalau setiap pagi alhamdulillah sentiasa penuh dengan pelanggan yang tidak putus-putus datang,” katanya.
Ditanya mengenai impak kenaikan harga barang, Abdul Rahman berkata, beliau mempunyai cara tersendiri untuk mengurangkan kesan terhadap perniagaannya.

“Jangan kita takut rugi, kalau takut rugi sampai bila pun kita tidak boleh maju. Kita kena berani. Yang nak datang cari saja ‘Murtabak Man Black’, mesti sampai, tapi martabak kita hanya jual pada bulan puasa saja,” katanya.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan wartawan di UtusanTV dengan pengalaman 11 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital. Sebelum menyertai UtusanTV pada Januari 2022, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media arus perdana dan portal berita lain sejak 2015. Sepanjang kerjaya, penulis telah menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu seperti jenayah, politik, perkembangan semasa dan hiburan.

