KERAJAAN Malaysia menolak dakwaan yang mengaitkan negara ini dengan layanan tidak berperikemanusiaan terhadap kanak-kanak migran dan pelarian termasuk daripada komuniti Rohingya, sambil menegaskan pelbagai inisiatif perlindungan telah dilaksanakan bagi menjaga kebajikan golongan berkenaan.
Kementerian Dalam Negeri (KDN) dalam kenyataan hari ini memaklumkan dakwaan bahawa kanak-kanak dikurung tanpa pembelaan atau dinafikan keperluan asas tidak mencerminkan usaha sebenar kerajaan dalam mengurus isu migrasi tidak teratur secara bertanggungjawab, berperikemanusiaan dan selaras dengan keperluan keselamatan negara.
Menurut KDN, sehingga 28 Februari lalu, enam Baitul Mahabbah telah beroperasi di seluruh negara dengan menempatkan seramai 188 kanak-kanak termasuk tujuh yang dikategorikan sebagai kanak-kanak tanpa penjaga atau terpisah daripada keluarga.
“Pelaksanaan Baitul Mahabbah merupakan langkah interim bagi menyediakan penempatan sementara yang lebih sesuai kepada kanak-kanak berusia 12 tahun ke bawah bersama penjaga mereka,” menurut kenyataan itu.
KDN menjelaskan, inisiatif tersebut membolehkan kanak-kanak dipindahkan daripada persekitaran depot tahanan imigresen biasa sementara proses dokumentasi, pengesahan status dan penyelesaian lanjut dilaksanakan.
Di pusat berkenaan, mereka ditempatkan dalam suasana yang lebih kondusif serta diberikan akses kepada keperluan asas, penjagaan kesihatan, keselamatan, aktiviti pendidikan tidak formal, bimbingan asas dan kemudahan riadah yang bersesuaian dengan usia mereka.
Menurut kementerian itu, Baitul Mahabbah juga menjadi langkah peralihan sementara kerajaan memperhalusi pelaksanaan kerangka Alternatif Kepada Penahanan Kanak-Kanak yang lebih menyeluruh bersama Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), rakan strategik kerajaan serta pertubuhan bukan kerajaan berkaitan.
Dalam masa sama, kerajaan merancang untuk memperluaskan kapasiti dan skop Baitul Mahabbah secara berperingkat termasuk bagi menampung kategori umur kanak-kanak lain, tertakluk kepada kesesuaian kemudahan dan keperluan perlindungan.
KDN berkata, pendekatan itu bertujuan memastikan kanak-kanak yang terlibat tidak terus berada dalam persekitaran tahanan biasa selain melindungi mereka daripada risiko eksploitasi, penyeludupan migran, buruh paksa, pemerdagangan manusia dan pengabaian.
“Kerajaan perlu mengimbangi tuntutan kemanusiaan dengan tanggungjawab menjaga keselamatan negara serta integriti sistem imigresen,” jelas KDN.
Pada masa sama, KDN menegaskan, isu migrasi tidak boleh dilihat secara terasing kerana kemasukan secara tidak sah, penyeludupan migran dan pemerdagangan orang melibatkan komuniti rentan merupakan cabaran keselamatan serta kemanusiaan yang kompleks dan merentas sempadan.
Menurut KDN, dalam banyak keadaan, kanak-kanak menjadi mangsa sindiket yang mengambil kesempatan terhadap konflik, kemiskinan dan ketiadaan penyelesaian jangka panjang di negara asal mereka.
KDN memberitahu, Malaysia menyeru negara asal, pertubuhan antarabangsa, rakan serantau dan aktivis kemanusiaan memainkan peranan lebih tegas serta bertanggungjawab dalam mencari penyelesaian mampan terhadap isu berkenaan.
KDN menegaskan tumpuan tidak seharusnya hanya diberikan kepada kritikan terhadap negara penerima, sebaliknya perlu melibatkan usaha menangani punca sebenar migrasi, membanteras sindiket penyeludupan dan pemerdagangan manusia, mempercepatkan penempatan semula ke negara ketiga serta mewujudkan keadaan yang membolehkan kepulangan secara selamat, sukarela dan bermaruah.

Penulis merupakan wartawan di UtusanTV dengan pengalaman 11 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital. Sebelum menyertai UtusanTV pada Januari 2022, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media arus perdana dan portal berita lain sejak 2015. Sepanjang kerjaya, penulis telah menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu seperti jenayah, politik, perkembangan semasa dan hiburan.

