Pada tahun 1976 semasa penggambaran filem The Six Million Dollar Man di sebuah taman tema di Long Beach, Amerika Syarikat, seorang kru cuba memperbaiki kedudukan posisi sebuah patung usang yang tergantung di situ.
Semasa kru tersebut menarik patung itu yang digantung dengan tali, lengan patung itu patah dan mendedahkan isi sebenar patung itu – tulang manusia!
Rupa-rupanya patung itu bukan buatan manusia. Ia adalah mayat sebenar yang telah dimumiakan. Patung itu sebenarnya ialah Elmer McCurdy, seorang penjenayah Amerika pada awal abad ke-20 dan telah meninggal dunia selama 65 tahun. Mengejutkan, bukan?

Lahir pada 1880, Elmer McCurdy adalah anak yatim piatu. Dia dibesarkan oleh ibu bapa saudaranya di bandar kelahirannya, Maine. Elmer digambarkan seorang kaki minum. Kerjanya tidak tetap, kadangkala sebagai pelombong, tukang paip dan pernah juga menjadi tentera.
Pengetahuan membuat bahan letupan yang dipelajarinya kemudian digunakan untuk merompak peti besi. Dia sering meletupkan bank, sayangnya peti besi di dalamnya tetap utuh.
Kerana banyak melakukan jenayah, Elmer menjadi buruan pihak berkuasa. Akhirnya, Elmer yang sedang mabuk dan dipercayai sakit berkaitan paru-paru berjaya ditembak di sebuah kandang dengan peluru menembusi dadanya.
Memandangkan Elmer hanya sebatang kara, tiada sesiapa tampil menuntut mayatnya yang dibiarkan tanpa penjagaan sehinggalah pengarah rumah pengebumian, Joseph L. Johnson, mengambil alih mayatnya.
Joseph telah menyalut mayat Elmer dengan balsem berarsenik untuk memeliharanya, dan kemudian memumiakan mayat itu selama bertahun-tahun sebelum mula mempamerkan mayat itu kepada orang ramai.
Bukan sekadar dijadikan tontonan, Joseph turut membiarkan orang ramai memasukkan wang syiling ke dalam mulut mumia Elmer. Dengan bayaran 5 sen setiap lawatan, Joseph mula mendapat keuntungan.

Melihat keadaan tersebut, beberapa penipu telah berjaya memperdayakan Joseph. Sekumpulan lelaki karnival yang sampai ke rumah mayat itu pada tahun 1916 telah menyamar sebagai saudara Elmer. Muslihat mereka dengan membuat alasan mahu membawa pulang mayat Elmer untuk diserahkan kepada ibunya.
Namun, sebaik keluar dari rumah mayat itu, mereka menjadikan mayat Elmer sebagai tarikan orang ramai untuk tontonan bergerak di jalanan. Bukan hanya melakukan pelbagai kesalahan semasa hidup, setelah mati mayat Elmer turut digunakan untuk tujuan mengaut keuntungan.
Menjadi bahan pameran jalanan, pameran di Muzium Jenayah Los Angeles, pertunjukan karnival dan menjadi prop dalam filem seram. Lebih kurang enam dekad mayat Elmer dipergunakan. Sehinggalah di hentian terakhir, mayatnya disalut dengan cat bercahaya dan digantung di taman tema Long Beach Selma selama bertahun-tahun dan digelar ‘Lelaki Seribu Tahun’. Semua orang telah lupa yang tergantung itu sebenarnya ialah mayat seorang lelaki.
Penemuan Elmer
Menjelang tahun 1976, taman tema yang dahulunya meriah telah bertukar menjadi tempat usang yang terbiar. Ketika itulah kru filem The Six Million Dollar Man sampai ke lokasi tersebut untuk penggambaran.
Mayat Elmer McCurdy yang tergantung ditemui di bahagian rumah hantu. Semasa kru cuba menanggalkan mayat itu, lengannya patah yang mendedahkan tulang yang reput di bawah kulit kering yang sudah rapuh.
Penemuan mayat seorang lelaki yang tergatung di situ telah didedahkan oleh kru filem itu kepada umum. Kerana sudah lama, pengecaman terhadap mayat itu mengambil masa.

Walaupun masih ada serpihan peluru di dada mayat itu, terdapat perkara-perkara lain yang membantu penyiasat untuk mengenal pasti identiti mayat tersebut. Antaranya bukti seperti tiket dari Muzium Los Angeles, syiling bertarikh 1924 dan kesan penyakit radang paru-paru yang mengesahkan bahawa mayat itu adalah Elmer McCurdy, penjenayah yang telah dibunuh oleh penyakit dan peluru pada tahun 1911.
Selepas enam dekad, pihak berkuasa memutuskan untuk memberikan lelaki itu pengebumian yang wajar. Pada 22 April 1977, sebuah kereta jenazah ditarik kuda membawa mayat Elmer McCurdy ke perkuburan Summit View do Guthrie, Oklahoma, di mana dia dikebumikan bersebelahan dengan rakan penjenayahnya, Bill Doolin dan geng Wild Bunch.
Lebih 300 orang hadir memberi penghormatan terakhir di kuburnya. Untuk mengelak sebarang eksploitasi seperti yang berlaku sebelum itu, dikatakan cairan simen telah dicurahkan setebal dua kaki di atas kerandanya, memastikan tidak ada yang cuba mencuri mayat Elmer.
Kisah Elmer McCurdy telah mengilhamkan pelbagai buku, dokumentari dan pementasan muzikal. Ceritanya terus disampaikan, bukan kerana dia seorang penjenayah hebat, tetapi kerana kehidupan dan kematiannya yang panjang dipergunakan untuk hiburan manusia.

__
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

