WAJAH baharu yang semakin menyerlah dalam dunia muzik tempatan, Adrianna Cinta kini kembali dengan single terbaharu berjudul Impiana.
Lagu edaran Sony Music Entertainment Malaysia itu bukan sekadar nyanyian, tetapi sebuah refleksi mendalam tentang impian, realiti kehidupan dan keindahan yang muncul daripada rasa syukur.
Selepas memikat hati pendengar dengan single My Baby yang menonjolkan sisi romantik dan lembut, kali ini Cinta tampil lebih matang, jujur, dan introspektif.
Impiana digarap oleh komposer Syaizul Amal, lirik oleh Ain Maisarah dan diterbitkan oleh produser muzik Farouk Roman, berjaya menyerlahkan kekuatan vokal Cinta serta kejujuran emosi yang jarang didengar.
Impiana membawa mesej tentang ‘impian palsu’ dan sisi gelap di sebalik kehidupan yang sering kita dambakan.
“Lagu ini tentang kebenaran hidup. Kita suka mengejar yang indah, tapi untuk sampai ke sana, banyak benda susah perlu dilalui.
“Impiana bukan sekadar tentang impian, tapi realiti yang kadang kita elak hadapi,” ujar Cinta.
Lagu ini menjadi wadah Cinta meluahkan perasaan sebenar tentang kehidupan, di mana walaupun ada kesusahan, tetap ada keindahan kecil yang patut disyukuri.
Salah satu bait paling menonjol adalah “The grass is greener on the other side”, mencerminkan perjalanan Cinta dalam industri muzik.
“Saya masih baru. Ada bahagian rumput hijau, ada yang perang.
“Setiap pencapaian kecil datang selepas lalui sisi perang dulu.
“Tapi bila dekat sisi hijau itu, tetap ada duri juga,” jelasnya tersenyum.
Cinta menegaskan bait itu dekat dengan realiti hidup: apa yang kelihatan sempurna di luar belum tentu bebas cabaran di dalam.
Untuk menangkap emosi tulen, sesi rakaman Impiana dilakukan pada jam 1 pagi, hasil saranan Farouk Roman.
“Farouk mahu saya sampaikan lagu ini berbeza. Jadi saya tidur dulu dan bangun tengah malam untuk dapat suara ‘raspy’ dan mood tenang.
“Lagu ini perlukan rasa natural, bukan dibuat-buat kerana mesejnya tentang kejujuran,” katanya.
Pengalaman ini dianggap antara yang paling unik dalam perjalanan muziknya.
Di sebalik nada melankolik, Impiana menonjolkan kesyukuran sebagai elemen penting.
“Kalau kita tak bersyukur, kita akan terus kejar sehingga lupa diri.
“Bila belajar bersyukur, kita tahu nilai sebenar setiap usaha,” tambah Cinta.
Cinta juga sedar industri hiburan penuh perbandingan dan tekanan.
“Tak kira setinggi mana kita pergi, selalu ada orang lebih hebat.
“Tapi selagi kita bergerak dan faham hala tuju, itu sudah cukup. Jangan berhenti.
“Bila faham perjalanan itu, Insya-Allah kita akan kekal lama,” ujarnya tegas.
Bagi Cinta, Impiana bukan sekadar lagu, ia inspirasi untuk generasi muda melihat impian dari perspektif realistik dan penuh syukur.
“Sentiasalah bersyukur. Untuk capai impian besar, lalui impian kecil dulu.
“Hargai setiap pencapaian, walau kecil. Kalau lagu ini boleh buat orang hargai diri dan bersyukur, saya dah bersyukur,” kata Cinta menutup bicara.
Impiana boleh distrim di Spotify, Apple Music, YouTube Music dan Deezer.

Penulis merupakan Pengarang URTV di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lebih 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal lain sejak tahun 2014.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan indsutri seni hiburan dalam dan luar negara.

