Bagi penonton siri Game of Thrones mungkin perasan kewujudan pokok ini. Digelar sebagai terowong yang menyeramkan, keindahannya yang dramatik dengan dahan-dahan bersilang membuatkan ia bukan saja dipilih sebagai lokasi penggambaran, malah menjadi destinasi pelancongan ikonik di Ireland.
Disebut sebagai Dark Hedges, pokok unik ini terletak di sepanjang jalan Bregagh di Country Antrim, bahagian utara Ireland. Ia sebuah laluan sunyi yang kini menjadi ikon landskap yang memukau di kawasan itu.
Pokok-pokok ini ditanam sekitar tahun 1775 oleh bangsawan, James Stuart sebagai penghormatan kepada isterinya, Grace Lynd. Ia ditanam bagi mengagumkan tetamu yang menuju ke Gracehill House, mahligai gaya Georgian kepunyaan James.
Pada awalnya, lebih kurang 150 batang pokok beech di tanam di sepanjang laluan menuju ke rumah agam bangsawan itu. Namun, peredaran waktu turut menamatkan sebahagian riwayat pokok-pokok ini. Daripada lebih 150 pokok asal yang ditanam, kini kurang dari dua pertiga sahaja yang masih berdiri. Ribut Gertrude pada Januari 2016 juga telah telah meranapkan dua daripadanya.


Legenda Grey Lady & Kereta Kuda
Tidak lengkap lokasi misteri begini tanpa cerita hantu. Ya, pokok ini juga mempunyai kisah tersendiri. Tentang ‘wanita kelabu’ (Grey Lady) yang menghantui kawasan ini.
Grey Lady ialah gelaran yang diberikan kepada roh wanita berbusana kelabu yang dikatakan sering muncul di laluan pokok ini. Figuranya sering digambarkan meluncur perlahan di sepanjang jalan, sebelum menghilang begitu sahaja sebaik tiba di hujung pokok terakhir.
Identitinya masih misteri. Ada yang percaya Grey Lady ialah roh dari tanah perkuburan lama. Tak kurang juga yang mengatakan beliau seorang pembantu rumah yang mati dalam keadaan mencurigakan, malah ada yang mendakwa roh itu ialah anak perempuan bangsawan James Stuart.

Selain Grey Lady, ada dua kisah lain yang turut menyelubungi Dark Hedges. Antaranya kisah roh tentera Sepanyol. Dikatakan cerita ini berasal ratusan tahun lalu, ketika Ireland Utara berdepan ketegangan politik dan peperangan kecil antara kuasa Eropah.
Menurut cerita, satu kumpulan kecil askar Sepanyol (dipercayai daripada Armada Sepanyol yang karam pada tahun 1588) dikatakan tersesat dan melarikan diri jauh ke pedalaman Ireland Utara. Beberapa orang tentera yang terselamat cuba berlindung di hutan berhampiran kawasan yang kini dikenali sebagai Dark Hedges.
Mereka kelaparan, keletihan dan cedera, cuba bersembunyi daripada penduduk tempatan yang pada waktu itu tidak mempercayai orang luar. Akhirnya mereka mati kesejukan dan kelaparan di bawah rimbunan pokok beech tersebut.
Sejak itu, ada saksi mendakwa pada waktu senja atau awal pagi, bayang-bayang hitam berbentuk manusia kelihatan menyusuri lorong pokok itu. Kedengaran langkah-langkah perlahan, seakan-akan askar yang memakai kasut besi.
Ada juga yang mendengar suara lelaki bercakap dalam bahasa Sepanyol lama. Dalam satu kisah popular, seorang pemandu yang berhenti untuk mengambil gambar di situ dilaporkan melihat tiga figura gelap berdiri di tengah jalan. Namun apabila kereta lampunya dipasang tinggi, ketiga-tiganya bayangan itu hilang seperti disapu angin.

Lagi satu kisah pula ialah kereta kuda berhantu yang sering menjadi bualan penduduk tempatan. Pada malam-malam tertentu, selalunya ketika bulan separa penuh, ada saksi mendengar bunyi derapan tapak kuda dan roda kayu menggeser jalan batu. Ia berselang seli dengan bunyi dentingan besi seolah-olah sebuah kereta kuda sedang meluncur laju.
Tetapi apabila disuluh atau diperhatikan dari jauh, tiada apa pun yang kelihatan di laluan itu. Sesetengah pelawat pula mendakwa kereta kuda itu sebenarnya boleh dilihat, tetapi hanya sekilas dan ghaib dalam sekelip mata.
Ada dua versi tentang kisah kereta kuda ini. Versi pertama menceritakan pada awal 1800-an, sebuah kereta kuda milik keluarga Stuart terbabas ketika pulang dari sebuah majlis. Kuda-kuda itu tiba-tiba panik membuatkan ia terbabas dan kereta terbalik. Penumpang di dalamnya seorang wanita bangsawan muda telah terbunuh di tempat kejadian. Sejak itu, kereta kuda ini dikatakan seakan mengulang semula perjalanan terakhirnya setiap kali angin kuat bertiup di lorong pokok itu.
Versi kedua pula mengatakan kereta kuda itu membawa seorang banduan yang mati misteri di dalamnya. Kereta itu dikatakan bergerak tanpa pemandu, kuda tanpa mata dan bunyinya saja yang mendahului penampakan. Kereta itu tidak pernah dapat dilihat sepenuhnya, hanya bayangan bergerak yang samar-samar kelihatan.
Tiada Kenderaan
Daripada 150 pokok yang ditanam pada 1775 oleh keluarga Stuart, anggaran terkini pokok-pokok ini hanya tinggal sekitar tidak sampai 90 pokok. Dan dijangka jumlah ini akan semakin berkurangan di masa hadapan kerana faktor usia, penyakit dan cuaca ekstrem.
Kerajaan Ireland telah memperkenalkan beberapa langkah untuk memelihara kawasan ini. Pada tahun 2017, semua kenderaan bermotor dilarang untuk melalui lorong Dark Hedges kecuali penduduk setempat.
Tujuannnya untuk mengelakkan pemadatan tanah dan kerosakan akar pokok-pokok tersebut. Pelawat yang datang hanya boleh berjalan kaki sahaja di sini dan wajib mengikut laluan yang telah ditetapkan. Tidak lagi boleh bebas untuk memijak mana-mana kawasan pokok ini.
Ia antara langkah untuk memanjangkan usia pokok-pokok ini memandangkan Dark Hedges kini sudah berusia 250 tahun, menjadikan ia berada di hujung kitaran hidup. Bila-bila masa saja boleh rebah ke bumi.
Fakta Tambahan
- Selain Game of Thrones, banyak filem lain turut membuat penggambaran di lokasi ini. Antaranya filem Transformers: The Last Knight (2017).
- Salah satu lokasi paling popular untuk fotografi perkahwinan. Dark Hedges direkodkan sebagai antara 5 lokasi outdoor paling banyak digunakan untuk wedding photoshoot di UK & Ireland.
__
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

