PERUSAHAAN Otomobil Kedua Sdn Bhd (Perodua) melancarkan secara rasmi kenderaan elektrik (EV) pertama keluaran syarikat itu yang dikenali sebagai QV-E ditawarkan pada harga RM80,000 tidak termasuk insurans dan bateri.
QV-E turut menandakan ia sebagai EV pertama buatan Malaysia dengan 60 peratus kandungan tempatan, merangkumi panel badan, harness dan komponen elektronik utama.
Pelancaran kereta itu telah disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, hari ini.
Model QV-E dibangunkan sebagai sebahagian usaha nasional memperkukuh ekosistem kenderaan elektrik yang mampan.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Datuk Seri Zainal Abidin Ahmad memaklumkan, pembangunan model QV-E melibatkan pelaburan sebanyak RM800 juta dan dihasilkan di kemudahan pengilangan terbaharu Perodua, Smart Mobility Plant.
“Buat masa ini, kami boleh menghasilkan sebanyak 500 unit kenderaan ini sebulan dengan kapasiti itu akan meningkat kepada 3,000 unit menjelang suku ketiga 2026,” katanya dalam pelancaran kenderaan itu.
Perodua menjalin kerjasama secara agresif dengan vendor tempatan untuk membekalkan 50 peratus komponen menjelang awal tahun 2026 dan meningkatkannya kepada 70 peratus pada 2030.
Setakat ini, 52 syarikat tempatan menjadi pembekal komponen untuk QV-E, dan angka itu dirancang berkembang kepada 70 vendor dalam tempoh lima tahun akan datang sekali gus memperkukuh kedudukan Malaysia dalam ekosistem EV serantau.
Dibina untuk kegunaan harian bandar dan perjalanan sederhana, QV-E dipacu bateri LFP 52.5kW yang menawarkan jarak pemanduan sehingga 445km (NEDC), bergantung kepada cara pemanduan dan keadaan sekeliling.

Baca artikel lain: SST masih kekal relevan, pilihan laksana semula GST dilihat belum sesuai
Dari aspek keselamatan, model ini dilengkapi sistem Child Presence Detection yang mampu mengesan pergerakan dan tanda vital seperti bunyi pernafasan di tempat duduk belakang walaupun terhalang fabrik atau selimut bagi mengurangkan risiko insiden tertinggal kanak-kanak atau haiwan peliharaan dalam kenderaan.
Sasaran pembeli QV-E ialah golongan pertengahan serta mereka yang mencari kereta kedua atau kenderaan gantian untuk kegunaan harian dan aktiviti santai hujung minggu.

Perodua turut memperkenalkan konsep pajakan bateri ‘Battery as a Service‘, di mana bateri ditawarkan berasingan daripada kenderaan.
Sementara itu, Perdana Menteri turut menyatakan rasa bangga dengan kejayaan terbaharu dicapai Perodua itu.
“Bila Tengku Zafrul (Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz) mengusulkan untuk tetapkan pada September 2023 suatu hala tuju yang jelas menuntut Perodua siapkan unjuran EV, saya rasa sedikit gusar.
“Matlamat itu agak bercita-cita tinggi. Mungkin tak cukup kemahiran, kepakaran tempatan, tapi ini sangat berbangga bukan sahaja peluncuran EV, tapi dihasilkan dengan kepintaran usaha dan kegigihan anak tempatan,” katanya ketika berucap.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

