Tasik Lanier merupakan tasik terbesar di wilayah Georgia, Amerika Syarikat. Keluasannya kira-kira 154 kilometer persegi, kedalamannya antara 12 sehingga 45 meter.
Tasik ini dibina pada tahun 1956 oleh U.S. Army Corps of Engineers sebagai sebahagian daripada projek empangan Buford di sungai Chattahoochee. Tujuannya untuk mengawal banjir, sebagai bekalan air dan menjana kuasa hidroelektrik.

Tasik ini dikenali dengan keindahannya. Pun begitu, ia juga terkenal sebagai salah satu tasik paling berbahaya di Amerika Syarikat. Sejak ia wujud, lebih kurang 700 nyawa telah terkorban di sini. Kebanyakannya kerana lemas atau kemalangan bot.
Salah satu punca jumlah kematian yang tinggi mungkin tersembunyi di bawah permukaan air. Sisa binaan sebelum tasik ini dibina bersama pelbagai objek di dasar seperti bot yang tenggelam, kerusi taman, tali dan macam-macam lagi menjadi salah satu halangan yang berbahaya di dasar tasik. Ditambah pula dengan penglihatan yang rendah, operasi menyelamat mangsa menjadi sukar dan berisiko tinggi.
Tetapi, kisah-kisah lemas di tasik ini turut diselingkari dengan teori lain yang lebih misteri. Ia dikaitkan dengan Tasik Lanier yang dikatakan berhantu!
Hari ini, Tasik Lanier kelihatan bersih dan indah. Namun, tanah yang didiami tasik ini mempunyai sejarah trauma, keganasan dan kematian.
Penduduk asli yang dahulunya tinggal di kawasan yang kini dikenali sebagai Forsyth County, yang bersempadan dengan tebing barat tasik ini, telah diusir oleh kerajaan Amerika Syarikat melalui Trail of Tears pada 1830-an. Ia adalah pemindahan secara paksa yang dilakukan kerajaan Amerika terhadap penduduk asli di situ supaya meninggalkan tanah leluhur mereka.
Pada tahun 1912, satu lagi kumpulan minoriti dipaksa meninggalkan kawasan itu. Pada September tahun yang sama, seorang remaja perempuan bernama Mae Crow telah dirogol dan dipukul sehingga mati di bandar Oscarville.
Tiga lelaki kulit hitam dituduh, seorang digantung oleh sekumpulan orang kulit putih, manakala dua lagi dihukum gantung selepas disabit kesalahan. Selepas itu, kumpulan bersenjata orang putih yang menggelar diri mereka ‘Night Riders’ telah mengancam penduduk kulit hitam dan membakar perniagaan mereka sehingga ramai terpaksa meninggalkan Oscarville. Populasi orang kulit hitam di Forsyth County jatuh daripada lebih seribu orang hanya kepada sekitar 30 orang antara tahun 1910 hingga 1920.
Sejarah tragik ini seolah-olah dilenyapkan apabila Kongres meluluskan pembinaan empangan pada tahun 1946, menghasilkan Tasik Lanier seluas 38,000 ekar yang turut menenggelamkan bandar Oscarville sepenuhnya pada 1956, termasuk kubur-kubur di kawasan itu.
Dari penduduk asal Forsyth County yang terkorban hingga golongan kulit hitam yang diusir pada 1900-an, dikatakan roh-roh mereka terus menghantui Tasik Lanier sehingga hari ini.

Lebih menyeramkan, roh-roh ini dikatakan turut ditemani oleh ratusan mangsa yang lemas di Tasik Lanier sejak 1956.
Roh Tasik
Ada yang mengatakan tasik ini memakan korban setiap tahun kerana kerajaan tidak memindahkan kubur-kubur di situ semasa pembinaan tasik ini. Ada juga yang menuding jari pada ‘hantu’ 27 mangsa yang terkorban di tasik ini sepanjang tahun, tetapi jasad mereka tidak pernah ditemui.
Namun, cerita hantu yang paling terkenal di tasik ini ialah Lady of the Lake. Pada tahun 1958, dua sahabat, Delia May Parker Young dan Susie Roberts pulang dari menghadiri sebuah majlis tarian.
Mereka singgah mengisi minyak, namun melarikan diri tanpa membayar minyak tersebut. Tidak lama kemudian, kereta mereka hilang kawalan semasa melintasi tasik Lanier, menyebabkannya terbabas dan menjunam ke dalam tasik. Kedua mereka turut lemas. Mayat mereka tidak ditemui.

Setahun kemudian, seorang pemancing menemui satu jasad reput yang tidak dapat dikenal pasti identitinya, terapung berhampiran di salah satu jambatan. Mayat itu memakai gaun biru, kedua-dua tangannya tiada. Roh mayat inilah yang digelar Lady of The Lake. Roh wanita bergaun biru tanpa tangan yang sering kelihatan muncul di sekitar tasik ini.
Hanya pada tahun 1990, lebih tiga dekad kemudian, pihak berkuasa menemui sebuah kereta lama dengan tulang yang disahkan milik Susie Roberts. Ini bermakna jasad yang ditemui pemancing pada tahun 1959 itu milik sahabatnya, Parker Young.
Dikatakan roh yang sering dilihat itu ialah roh Parker Young. Penduduk tempatan mendakwa, mereka sendiri pernah melihat Parker Young memakai gaun biru yang dipinjamnya malam itu dari Susie dan berjalan di tepi jambatan.
Menurut cerita, apabila rohnya muncul dengan tangan yang hilang, ia akan menarik mangsa ke dalam air dan melemaskan mereka. Sebab itu roh Lady of The Lake ini banyak dikaitkan dalam kejadian lemas di Tasik Lanier.

__
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

