Kehadiran kapal persiaran M/V Piano Land ke perairan Malaysia sejak penghujung November bukan sekadar memperkenalkan sebuah lagi tarikan pelayaran mewah, tetapi turut menandakan kemunculan era baharu bagi pelancongan halal serantau.
Kapal persiaran yang dikendalikan oleh Astro Ocean Cruise itu kini menjadi tumpuan kerana pendekatan mesra Muslim yang dibawa, sekali gus membuka peluang besar untuk menembusi pasaran pelancongan Islam bernilai tinggi di Malaysia, ASEAN dan di peringkat global.

Pengarah Urusan Hwajing Travel & Tours, Kenny Cheong berkata, usaha menjadikan kapal itu benar-benar sesuai untuk pelancong Muslim tidak dilakukan sambil lewa.
“Salah sebuah dapur di atas kapal, iaitu dapur Restoran Lido, telah berjaya mendapatkan sijil sertu daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) sebagai langkah penting ke arah memperoleh pensijilan halal penuh.
“Malah kami memberi keutamaan terhadap pembekal halal bagi memastikan keseluruhan proses penyediaan makanan mematuhi garis panduan syariah. Keyakinan inilah yang menjadi asas kepada pelancong untuk menikmati empat hidangan sehari tanpa sebarang keraguan terhadap status halal.

“Saya turut menyerahkan sepenuhnya isu berkaitan halal kepada mereka yang berkredilibiti dan kami turut mempunyai chef Muslim yang akan memantau penyediaan makanan yang dihidangkan kepada pelanggan,” katanya.

Selain aspek pemakanan, keselesaan penumpang Muslim turut diberi perhatian apabila kapal ini mengasingkan bahagian minuman beralkohol di bahagian tertutup, sekaligus memberikan kelegaan dan ketenangan dalam menikmati pelayaran.
Ruang solat yang luas lengkap dengan arah kiblat dan pengumuman waktu solat disediakan bagi memudahkan ibadah demi mengukuhkan imej Piano Land sebagai kapal persiaran mesra Muslim yang sebenar.


Keseluruhan pengalaman di atas kapal ini juga memberi penekanan kepada aktiviti yang sesuai untuk seisi keluarga. Dengan lebih 880 kabin pada 10 dek, kapal ini menjadi pilihan bagi pelbagai kategori pengembara termasuk pasangan muda, keluarga besar, warga emas, kumpulan korporat dan pengembara solo.
Penumpang berpeluang menikmati kemudahan rekreasi seperti panggung teater, panggung wayang, pusat permainan kanak-kanak, perpustakaan mini, spa dan kolam renang yang telah dipilih dengan teliti agar sesuai untuk semua peringkat umur.



Usia M/V Piano Land yang mencecah hampir tiga dekad langsung tidak menghalang daya tarikannya. Malah, keistimewaan kapal ini terletak pada ketiadaan kasino, menjadikannya antara pilihan pelayaran yang lebih selesa untuk keluarga Muslim.
M/V Piano Land yang dibawa masuk oleh Hwajing Travel turut diraikan dalam satu majlis meriah di Terminal Pelayaran Pelabuhan Klang (PKCT). Pelayaran sulungnya membawa lebih 1,000 penumpang ke Pulau Pinang, sebagai permulaan kepada lebih banyak perjalanan ke destinasi tempatan seperti Langkawi.
Menariknya, kapal mewah seberat 70,000 tan ini sebenarnya sebuah kapal klasik Eropah yang pernah dinamakan sendiri oleh Ratu Elizabeth II.
Selain menawarkan kemudahan mesra Muslim, Piano Land turut menjadi pemangkin kepada pembangunan pelancongan halal negara. Malaysia sekian lama dikenali sebagai destinasi Muslim-friendly terbaik dunia, namun penawaran pelayaran halal menyeluruh masih terhad. Dengan kewujudan kapal seumpama ini, Malaysia berpotensi memperluas reputasinya sebagai hab pelancongan halal bukan saja di darat, malah di lautan.
Kenny turut menegaskan bahawa Hwajing bersedia bekerjasama dengan penganjur luar untuk menganjurkan pakej percutian Islamik di atas kapal, termasuk program ibadah, aktiviti keagamaan dan susun atur hiburan yang menepati nilai Muslim.
Melihat kepada keseluruhan tawarannya yang mesra Muslim, berstatus halal, selesa, selamat dan aktiviti kekeluargaan, M/V Piano Land bukan sekadar sebuah kapal persiaran, tetapi satu peluang besar untuk merevolusikan pengalaman percutian keluarga Muslim.

