
WALAUPUN berbaki kira-kira enam bulan lagi sebelum wisel sepak mula perlawanan pertama dibunyikan, kehangatan Piala Dunia 2026 telah mula dirasai.
Ia selepas undian menentukan kumpulan telah pun dilaksanakan di Amerika Syarikat (AS), Jumaat lalu.
Sebelum ‘membedah’ hasil undian peringkat kumpulan itu, lebih elok jika Piala Dunia 2026 ini disingkap terlebih dahulu.
Piala Dunia 2026 merupakan edisi ke-23 sejak dimulakan pada tahun 1930 bakal mencipta beberapa fakta dan rekod baharu.
Kejohanan sukan paling dinantikan itu buat pertama kalinya menyaksikan penyertaan sebanyak 48 pasukan berbanding 32 negara sebelum ini.
Edisi kali ini juga mencatatkan sejarah baharu apabila sebanyak tiga negara menjadi tuan rumah iaitu AS, Mexico dan Kanada.
Ia juga menjadi edisi pertama sejak tahun 2002 dihoskan oleh lebih daripada satu negara.
Berpengalaman menjadi tuan rumah pada tahun 1970 dan 1986, Mexico menjadi negara pertama menjadi hos Piala Dunia sebanyak tiga kali.
Kejuaraan tahun hadapan pula menjadi kali kedua untuk AS manakala pengalaman sulung buat Kanada.
Ini juga menjadi debut Piala Dunia buat Cape Verde, Curacao, Jordan dan Uzbekistan. Jumlah itu mungkin bertambah selepas tamat pusingan play-off terakhir nanti.
Undian peringkat kumpulan
Jika dilihat pada undian peringkat kumpulan, walaupun jumlah pasukan bertambah, namun persaingan mungkin tidak sengit seperti sebelumnya.
Pasukan-pasukan gergasi dilihat tidak mempunyai masalah untuk berada di kedudukan dua teratas dalam kumpulan masing-masing sekali gus layak ke pusingan seterusnya.
Malah, peluang cerah untuk pasukan-pasukan ‘pertengahan’ mencipta kejutan sebagai antara lapan pasukan di tangga ketiga terbaik.
Tuan rumah bersama iaitu Mexico, Kanada dan AS pula masing-masing telah di Kumpulan A, B dan D.
Ketiga-tiganya dilihat berada dalam kumpulan yang seimbang dengan Mexico bakal berdepan Afrika Selatan; Korea Selatan dan pemenang Play-Off D iaitu antara Czechia, Denmark, Ireland atau Macedonia.
Kanada yang membuat penampilan kedua di pentas Piala Dunia pula menanti pemenang Play-Off A iaitu antara Italy; Bosnia & Herzegovina; Ireland Utara atau Wales.

Baca artikel lain: FAM rayu kepada Mahkamah Timbang Tara Sukan, cabar keputusan FIFA
Dua lagi pasukan dalam Kumpulan B adalah Qatar dan Switzerland.
Sementara itu, AS yang kini dibimbing oleh Mauricio Pochettino tentu sekali mahu menampilkan aksi cemerlang di laman sendiri diletakkan bersama Paraguay; Australia dan pemenang Play-Off C.
Empat pasukan yang bersaing di Play-Off C Eropah itu adalah Kosovo, Romania, Slovakia dan Turkiye.
Kelebihan besar dapat dilihat buat Brazil yang berada dalam Kumpulan C; Jerman (Kumpulan E); Sepanyol (Kumpulan H); Perancis (Kumpulan I); Argentina (Kumpulan J); Portugal (Kumpulan K) dan England yang diletakkan dalam Kumpulan L.
Ketiadaan ‘kumpulan maut’ pada edisi kali ini dilihat agak ‘membosankan’ apatah lagi kebiasaannya ia mempertemukan pasukan gergasi dunia.
Bagaimanapun, ia sebenarnya membuka ruang kepada pasukan-pasukan kecil untuk membuat kejutan sekali gus melayakkan diri ke pusingan seterusnya.
Pasukan seperti Haiti; Curacao; Cape Verde; Jordan; Uzbekistan dan Panama sudah tentu mempunyai cita-cita untuk mencipta nama di pentas terbesar dunia ini.
Harapan sememangnya tinggi buat pasukan-pasukan berkenaan untuk tidak sekadar menjadi ‘pelengkap’ dan ‘belasahan’ gergasi bola sepak.
Edisi kali ini juga merupakan peluang terbaik kepada pasukan ‘pertengahan’ yang telah biasa memasuki Piala Dunia untuk melangkah lebih jauh terutama dari Asia.
Korea Selatan yang bakal membuat penampilan ke-11 berturut-turut di Piala Dunia mahu mengulangi pencapaian berada di Separuh Akhir di laman sendiri pada tahun 2002.
Jepun pula yang menampilkan prestasi membanggakan pada pusingan kelayakan dengan hanya satu kekalahan juga mahu menunjukkan bahawa mereka adalah pasukan terkuat Asia.
Peminat bola sepak dunia pastinya sudah tidak sabar menantikan tarikh 11 Jun 2026 untuk sepak mula perlawanan yang menyaksikan pertemuan Mexico menentang Afrika Selatan.
Estadio Azteca di Mexico City bakal menjadi venue pertama perjuangan El Tri dalam Piala Dunia 2026.
Perlawanan akhir pula bakal berlangsung pada 19 Julai di hadapan lebih 82,000 penonton di Stadium MetLife New Jersey.
184 hari lagi sebelum peminat bola sepak dunia terutama di Malaysia menjadikan alat kawalan jauh televisyen masing-masing ‘hak mutlak’ mereka selama sebulan.
Afiq Mohd Shah adalah Penolong Pengarang Berita UtusanTV
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

