PELAKON Uqasha Senrose mendakwa mengalami keganasan rumah tangga sepanjang empat tahun perkahwinannya bersama aktor, Kamal Adli termasuk ketika sedang hamil, sekali gus menjadi punca utama dia memfailkan permohonan perceraian.
Uqasha, 33, berkata, penderaan tersebut bukan bersifat sementara, sebaliknya berlanjutan sejak awal perkahwinan sehingga selepas kelahiran anak mereka, Uqaira.
Menurutnya, sebelum ini dia cuba bertahan demi menyelamatkan rumah tangga, namun situasi menjadi semakin sukar apabila perlakuan kasar itu berterusan meskipun dia sedang mengandung.
“Saya cuba bertahan apabila dia naik tangan, naik kaki, maki hamun, tengking, tinggi suara dan tolak-tolak badan.
“Tetapi apabila adanya anak, dia masih dengan perangai yang sama.
“Dalam keadaan mengandung pun saya masih dikasari,” katanya memetik laporan Kosmo! Online.
Uqasha turut mendakwa pernah ditarik rambut dan ditolak walaupun ketika kandungan sudah mencecah tujuh bulan.
“Sampai bila? Perempuan takkan minta cerai kalau tiada sebab munasabah.
“Kerana pentingkan anak dan kesihatan mentalnya yang masih kecil, serta tidak mahu anak melihat ibunya
ditengking, saya memilih untuk meneruskan permohonan cerai,” ujarnya dalam nada sebak selepas prosiding Jawatankuasa Pendamai (JKP) di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan, hari ini.
Pelakon itu turut menjelaskan keputusannya untuk berdiam diri selama ini adalah demi menjaga aib keluarga, meskipun pernah memaklumkan perkara tersebut kepada keluarga mentua.
“Saya ada beritahu keluarganya yang saya dipukul. Namun ada yang kata ‘mungkin ini cara kalian berbahagia’.
“Saya juga maklumkan kepada ibu mentua, tetapi diminta untuk terus bersabar,” katanya.
Menurut Uqasha, niat awalnya adalah untuk menyelesaikan perceraian secara baik tanpa mendedahkan isu keganasan kepada umum.
“Saya diam, saya pendam dan saya jaga aib. Tetapi kalau ini yang ingin diketahui, inilah kebenarannya,” tegasnya.
Sementara itu, peguam sivil mewakili Uqasha, Asheeq Ali Seth Alivi memaklumkan anak guamnya telah membuat empat laporan polis berkaitan dakwaan keganasan rumah tangga.
“Tiga laporan dibuat oleh Uqasha sendiri manakala satu laporan difailkan oleh ibu Uqasha.
“Kesemua laporan melibatkan dakwaan bahawa Uqasha telah didera secara fizikal, termasuk dipukul dan ditendang,” katanya.
Beliau menegaskan pihaknya akan meneruskan tindakan lanjut melalui Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan proses Mahkamah Sivil, sambil menyerahkan sepenuhnya siasatan kepada pihak berkuasa.
“Kepada mana-mana pihak yang menganggap dakwaan ini sebagai fitnah, dipersilakan memfailkan saman fitnah terhadap Uqasha dan hantar ke pejabat saya,” tambahnya.
Dalam perkembangan sama, prosiding perceraian yang difailkan Uqasha pada 1 Oktober lalu kini berada pada peringkat Jawatankuasa Pendamai, dengan mahkamah melantik hakam (penimbang tara).
Prosiding seterusnya dijadualkan berlangsung pada 12 Januari tahun hadapan.
SUMBER: KOSMO! ONLINE

