Penyanyi rap, Madrizal bakal akhiri status duda, pilih bercinta selepas kahwin

Anna Mohamed
Anna Mohamed
Penulis merupakan Pengarang URTV di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lebih 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital. Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal lain sejak tahun 2014. Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan indsutri seni hiburan dalam dan luar negara.

Dari Penulis

PENYANYI rap yang popular dengan lagu Budak Baru Nak Up dan Mamasita, Madrizal bakal melangsungkan perkahwinan bersama pilihan hatinya, Norhidayatul Ain Kamarulzaman, 27, pada 31 Januari 2026.

Mengakui perkahwinan itu adalah yang kedua selepas bercerai pada 2023, Madrizal atau nama sebenarnya Mohammad Rizal Shah Abdul Jayalani, 31, berkata, dia tidak pernah merancang untuk kembali mendirikan rumah tangga dalam tempoh terdekat, namun pertemuan dengan bakal isteri membuka kembali pintu hatinya yang sebelum ini tertutup.

“Saya tak terfikir nak kahwin pada mulanya. Lepas cerai, saya banyak menyendiri dan fokus pada bisnes serta membantu usahawan. 

“Tapi bila jumpa dia, hati saya terbuka,” katanya.

Menurut Madrizal, dia bertemu Norhidayatul secara tidak sengaja ketika menghadiri majlis perkahwinan anak buahnya di Langkawi, Kedah, yang kebetulan disertai urusan kerja. 

Hubungan mereka bermula secara matang tanpa fasa bercinta.

“Saya kenal dia Julai, bulan Ogos saya terus luahkan hasrat untuk berkahwin. 

“Saya jumpa ayah dia dan beritahu saya tak nak bercinta, nak terus kahwin. 

“Alhamdulillah, keluarga dia terima saya,” ujarnya.

Madrizal turut memuji keperibadian bakal isterinya yang disifatkan sebagai berhijab, baik hati dan mempunyai latar belakang keluarga yang sangat menghormatinya. 

Malah, keluarganya juga tidak meletakkan sebarang permintaan tinggi.

“Mas kahwin RM2,340 ikut tarikh lahir dia, hantaran pula biarlah rahsia. 

“Keluarga dia cuma pesan supaya jaga dia baik-baik,” katanya yang memberitahu mereka berdua merupakan anak bongsu dalam keluarga masing-masing.

Menyentuh soal perancangan bulan madu, Madrizal berkata perkara itu belum dimuktamadkan, namun Bangkok, Thailand  menjadi pilihan awal kerana bakal isterinya menyukai destinasi tersebut, selain merancang ke Korea pada masa akan datang.

Dalam masa sama, penyanyi itu berharap perkahwinan kali ini menjadi yang terakhir buatnya.

“Saya nak buka tahun baru dengan buku yang baru, cari kebahagiaan baru. 

“Saya ada seorang anak perempuan yang bernama Leylla Shaqasandra, berusia empat tahun dan kami bergilir menjaga anak dengan bekas isteri,” jelasnya.

Bercerita mengenai kerjaya seni, Madrizal mengakui tidak lagi aktif menyanyi kerana lebih fokus kepada dunia perniagaan sejak beberapa tahun kebelakangan ini. 

Pernah berada di bawah naungan Cat Farish ketika berusia 19 tahun, dia lebih dikenali beberapa lagu yang digunakan dalam filem termasuk Rempit.

“Saya tulis sendiri lirik Mamasita. Sekarang ramai kawan pujuk suruh buat comeback. 

“Kalau jumpa Cat Farish, dia pun ada ajak buat lagu,” katanya.

Madrizal kini aktif sebagai usahawan dan penganjur acara di bawah Mads Global, termasuk mengendalikan kafe, resort serta acara hiburan harian di Langkawi dan Lembah Klang. 

Antara perniagaan yang diusahakan ialah Mat Street Cafe dan Mads Beach Resort di Pantai Chenang.

“Lebih dua hingga tiga juta saya dah labur beli peralatan sendiri. 

“Orang nampak saya ada duit, tapi ‘struggle’ saya orang tak nampak,” luahnya jujur.

Tambahnya lagi, meskipun MARA tidak membantu dari segi kewangan, agensi tersebut memberi kepercayaan dan peluang kepadanya untuk membantu usahawan kecil berniaga melalui platform acara yang dianjurkan.

“Alhamdulillah, Allah bagi rezeki walaupun perjalanan hidup saya penuh cabaran,” katanya mengakhiri bicara.


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

Lovebites pilih Kuala Lumpur sebagai destinasi siri jelajah dunia Outstanding Tour

SELEPAS hampir sedekad membina pengaruh besar sebagai antara kumpulan heavy metal wanita paling berprestij di dunia, impian peminat tegar...

More Articles Like This