Syntec Technology, penyedia penyelesaian pembuatan pintar terkemuka dari Taiwan, mengumumkan pelaburan lebih RM78 juta bagi pembangunan Fasa II kemudahan Syntec Intelligence Technology Sdn. Bhd. di Malaysia, sekali gus memperkukuh kedudukan negara sebagai hab pembuatan strategik serantau.
Pelaburan tersebut dibuat bagi memenuhi permintaan luar negara yang semakin meningkat, khususnya daripada industri mesin alat (machine tool) di India, selain mengukuhkan daya tahan rantaian bekalan global kumpulan itu dalam landskap pembuatan dunia yang kian mencabar.
Pengarah Global Syntec Intelligence, Otis Siah berkata, pengembangan operasi di Malaysia merupakan langkah strategik bagi menyokong pertumbuhan pesat pasaran ASEAN dan antarabangsa.
“Ini bukan sekadar peluasan kilang, sebaliknya satu nod penting dalam rangkaian operasi global Syntec yang membolehkan kami bertindak balas dengan lebih pantas terhadap keperluan pelanggan serta memperkukuh kerjasama dengan rakan serantau,” katanya.
Pembinaan kemudahan baharu itu dijadualkan siap pada awal 2027 dan akan memberi tumpuan kepada pembuatan serta ujian pengawal industri, selain pemasangan dan pengesahan sistem lengan robotik pintar.
Apabila beroperasi sepenuhnya, kilang tersebut dijangka berperanan sebagai hab pembuatan luar negara utama bagi menyokong pasaran India, Turkiye, ASEAN dan Amerika Syarikat.
Sementara itu, Pengarah Bebas Syntec Technology, Grant Kuo berkata, projek berkenaan mencerminkan komitmen jangka panjang syarikat terhadap pengembangan antarabangsa.
“Dengan memperkukuh kehadiran pembuatan di luar negara, kami bukan sahaja meningkatkan fleksibiliti rantaian bekalan, malah meletakkan kumpulan pada kedudukan kukuh untuk meraih pertumbuhan mampan di pasaran berpotensi tinggi,” ujarnya.
Majlis pecah tanah projek itu turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelaburan, Perdagangan dan Mobiliti Selangor, Ng Sze Han, Timbalan Wakil Pejabat Ekonomi dan Kebudayaan Taipei di Malaysia, James JM Buu, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Diraja Klang, Datuk Abd. Hamid Hussain, Pengarah Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) Selangor, Sherulanuar Abd. Karim serta kepimpinan Dewan Perniagaan Taiwan di Malaysia (TWCHAM).
Projek tersebut dibangunkan dengan kerjasama syarikat pembinaan tempatan, Pembinaan Tuju Setia Sdn. Bhd., dan akan mengaplikasikan konsep bangunan hijau, kaedah pembinaan cekap tenaga serta perancangan kilang pintar sejajar dengan komitmen Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) kumpulan itu.
Pengembangan di Malaysia merupakan sebahagian daripada strategi jangka panjang berasaskan pelanggan Syntec bagi memastikan pertumbuhan yang stabil dan mampan pada masa hadapan.

