Dewan Perdagangan Islam Malaysia (DPIM) memperkenalkan lima tokoh usahawan sebagai Ahli Majlis Tertinggi (AMT) yang baharu dalam usaha menyuntik tenaga segar dan memperkukuh kepimpinan organisasi itu bagi penggal akan datang.
Pelantikan yang berkuat kuasa serta-merta itu turut mencerminkan komitmen DPIM untuk memberi ruang kepada generasi muda berkaliber sebagai pelapis kepimpinan dalam meneruskan agenda pembangunan ekonomi ummah.
Antara yang dilantik ialah Mohd. Hafizuddin Hiew Abdullah, 38, Ketua Pegawai Eksekutif TDC Holdings Sdn. Bhd., yang berpengalaman luas dalam bidang keusahawanan dan kepimpinan korporat. Beliau merupakan graduan Universiti Malaysia Kelantan (UMK) dan pernah berkhidmat sebagai Setiausaha Kehormat Persatuan Cina Muslim Malaysia (MACMA) Kelantan, selain menerima Anugerah Tokoh Usahawan Mualaf Kebangsaan 2023.
Turut menyertai barisan AMT ialah Ain Azizah Arifin, 27, Pengarah Urusan Bubbles O2 Group of Companies. Di bawah kepimpinannya, Bubbles O2 berjaya dikenali sebagai jenama air mineral oksigen semula jadi tempatan yang mendapat pengiktirafan antarabangsa termasuk BrandLaureate Entrepreneur of the Year 2024 dan Superbrands Malaysia 2025.
Pelantikan Dr. Hazimi Hamzah, 41, Ketua Pegawai Eksekutif Ehsan Renal Care Sdn. Bhd., pula membawa dimensi profesional dalam sektor kesihatan. Beliau yang berkelulusan perubatan dan pentadbiran perniagaan aktif memacu inovasi syarikat sehingga meraih beberapa pengiktirafan di peringkat serantau.
Sementara itu, Ali Haidar Azizi, 28, Ketua Pegawai Eksekutif CIC Group of Companies, terus mencuri perhatian melalui kejayaan memperluaskan rangkaian prasekolah CIC ke hampir 100 cawangan di seluruh negara. Beliau juga menerajui Abedeen Academy di Cyberjaya yang menekankan pendidikan holistik berteraskan nilai Islam.
Melengkapkan senarai pelantikan ialah Adam Richman, 34, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan KNKV Group Sdn. Bhd., seorang pakar strategi perniagaan dan penjenamaan yang aktif membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta agensi kerajaan melalui pendekatan pemasaran kreatif dan berimpak tinggi.
DPIM yakin gabungan kepelbagaian latar belakang dan pengalaman barisan baharu ini mampu memperkukuh peranan pertubuhan itu sebagai platform penyatuan usahawan Muslim, sekali gus memacu ekonomi ummah ke tahap yang lebih mampan dan kompetitif.

