Terdengar suara bilal melaungkan iqamat. Haji Ahmad Mohd Noor yang sudah tiba lebih awal ke masjid bingkas bangun lalu menuju ke saf depan. Tidak lama kemudian, posisi imam diambil oleh Imam Hj. Mohamad Hashim Kechik, iaitu imam satu di Masjid Imam Muslim, Kampung Belimbing Dalam di Durian Tunggal, Melaka.
Allahuakbar!
Imam Hj. Mohamad mengangkat takbir lalu mengimamkan solat Zohor tengah hari itu. Semua jemaah di belakang turut mengangkat takbir termasuk Haji Ahmad yang berada di belakang imam di sebelah kanan.
Solat Zohor tengah hari itu berjalan lancar. Namun apabila mahu masuk rakaat keempat, Haji Ahmad terasa lain. Kali ini sujud Hj. Mohamad yang mengimamkan solat agak lama daripada kebiasaan.
Haji Ahmad dan jemaah lain terus menunggu. Tiba-tiba… Allah! Terdengar suara Hj. Mohamad menyebutnya perlahan.
Hj. Mohamad cuba bangun tapi kudratnya hilang. Dia tidak mampu berdiri untuk meneruskan rakaat keempat, sebaliknya terus terduduk antara dua sujud.
Haji Ahmad yang berada belakang imam mula perasaan ada sesuatu yang tidak kena. Lantas dia berhenti daripada solat lalu meluru ke depan menghampiri Hj. Mohamad yang duduk dalam keadaan dua sujud sambil kedua-dua belah tangan menahan ke lantai. Lagaknya seperti sedang menahan sakit.
Tubuh Hj. Mohamad mula senget dipegangnya. Hanya beberapa saat, Hj. Mohamad rebah ke pangkuan Haji Ahmad. Melihat keadaan itu, dua orang jemaah lain turut berhenti solat lalu turut memberi bantuan.
Dalam keadaan terbaring di pangkuan, Haji Ahmad dapat melihat keadaan Imam Hj. Mohamad semakin tenat. Nafasnya tercungap-cungap dan sedikit tersekat-sekat. Matanya terpejam rapat. Tapi mulutnya masih bergerak-gerak, seperti menyebut nama Allah.
Ashaduallailah haillallah…
Haji Ahmad membisikkan kalimah syahadah ke telinga Hj. Mohamad. Bibir imam itu bergerak-gerak perlahan mengikut kalimah syahadah tadi. Beberapa saat kemudian, tubuh Hj. Mohamad terkulai layu di atas pangkuan Haji Ahmad.
Imam Hj. Mohamad meninggal dunia! Pemergiannya itu mengejutkan semua jemaah dan penduduk kampung. Begitu juga dengan Haji Ahmad yang tidak dapat menahan air matanya daripada mengalir.
Bagi Haji Ahmad, selain sedih dengan pemergian seorang sahabat baik, pemergian imam itu juga sesuatu yang cukup indah di saksikan dengan matanya sendiri.
“Arwah pergi dengan tenang dan mudah. Lebih tersentuh arwah pergi ketika bersujud kepada Allah. Dia yang mengimamkan solat. Saya tengok sendiri bagaimana Allah cabut nyawa kekasihnya dengan cukup mudah dan tenang,” ujar Haji Ahmad kepada Mastika sambil matanya berkaca-kaca kerana teringatkan sahabat baiknya itu.

Pemergian Imam Hj. Mohamad meninggalkan kesan kepada seluruh penduduk Kampung Belimbing Dalam. Seorang penduduk, Haji Yahya Haji Mahadi, 65, yang juga Pengerusi Masjid Belimbing Dalam, turut melahirkan rasa terkejut dengan pemergian imam itu.
“Sebelum tu, saya tengok dia sihat sahaja. Boleh berbual elok. Semasa sampai di masjid, saya bersalam dengannya. Tak ada apa-apa yang pelik. Cuma masa bersalam, genggaman tangan arwah lain dari kebiasaan. Dia genggam tangan saya begitu erat. Tak sangka pula itu tanda Imam akan pergi selamanya,” dedah Haji Yahya.
Katanya lagi, kematian Imam Hj. Mohamad merupakan satu kehilangan besar kepada masyarakat di kampung tersebut. Ini kerana imam itu telah berkhidmat selama hampir 20 tahun sebagai imam utama di masjid itu.
Banyak jasanya kepada penduduk kampung. Jika tiada keuzuran setiap kali solat lima waktu, Imam Hj. Mohamad akan menjadi imam mereka. Arwah jugalah yang membacakan talkin atau doa bila ada kematian atau kenduri.
“Pernah arwah minta pada saya nak berhenti jadi imam. Tapi saya pujuk supaya teruskan sebab susah nak cari yang berkelayakan macam arwah. Lagi pun banyak ilmu yang dicurahkannya kepada kami ini ahli kariah. Atas sebab itu arwah terus jadi imam sampai akhir hayatnya,” jelas Haji Yahya lagi.
Tentang hubungannya dengan masyarakat, Haji Yahya akui Imam Hj. Mohamad seorang yang mesra dan mudah didekati. Dia boleh berbual dengan sesiapa sahaja dan sentiasa menghulur bantuan kepada orang yang memerlukan.
“Imam kerap dijemput untuk baca doa dalam kenduri atau apa-apa majlis. Kadang-kadang memang banyak. Sebolehnya, Imam akan datang penuhi setiap jemputan. Kalau tak dapat pergi, dia sendiri akan cari orang untuk ganti tempatnya. Dia tak akan mengecewakan tuan rumah. Pernah dia kata pada saya, kalau dah dijemput, wajib dia penuhi undangan tersebut walaupun diri dia sendiri tak berapa sihat,” beritahu Haji Yahya.
Walaupun mesra, mudah didekati, dan sentiasa menolong masyarakat namun dalam perihal agama, Imam Hj. Mohamad mempunyai sifat tegas. Bila sampai waktu solat, dia sentiasa sampai paling awal ke masjid.
Ujar Haji Yahya lagi, walaupun Imam Hj. Mohamad sudah tiada, namun setiap ilmu yang dicurahkannya masih berjasa kepada ahli kariah kampung tersebut.
“Paling saya tak akan lupakan kematian imam tu. Saya lihat sendiri bagaimana Allah ambil nyawa kekasihNya. Allah ambil nyawanya ketika sedang bersujud. Memang saya cemburu. Kalau boleh saya juga mahu mati sama seperti Imam Hj. Mohamad,” ujar Haji Yahya, sedih.
Firman Allah dalam surah An- Nahl ayat 30, 31 dan 32, maksudnya, “Dan dikatakan kepada orang yang bertakwa: “Apakah yang telah diturunkan oleh Tuhanmu?” Mereka menjawab: “(Allah telah menurunkan) kebaikan”. Orang yang berbuat baik di dunia ini mendapat (pembalasan) yang baik. Dan sesungguhnya negeri akhirat adalah lebih baik dan itulah sebaik-baik tempat bagi orang yang bertakwa, (iaitu) syurga Adn yang mereka masuk ke dalamnya, mengalir di bawahnya sungai-sungai, di dalam syurga itu mereka mendapat segala apa yang mereka kehendaki. Demikianlah Allah memberi balasan kepada orang-orang yang bertakwa. (iaitu) orang-orang yang dimatikan dalam keadaan baik oleh para malaikat dengan mengatakan (kepada mereka): “salamun alaikum, masuklah kamu ke dalam syurga itu disebabkan apa yang telah kamu kerjakan.”
NOTA : Kisah Imam Hj Mohamad Hashim Kechik yang meninggal ketika mengimamkan solat Zohor pada 30 Januari 2018 pernah dilaporkan media arus perdana. Tidak lama selepas itu, Mastika berkunjung ke masjid tersebut dan memaparkan perkongsian kisah imam ini seperti yang diceritakan oleh penduduk di situ.

__
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

