LOKASI Panggung Anniversari, Taman Tasik Perdana bergema dengan alunan Irama Malaysia apabila suara emas Noraniza Idris menghidupkan semula roh seni warisan negara sempena Festival Tarian Evolusi Etnik Rakyat Malaysia & Asia 2025 (TERMA’25)
Festival berprestij yang berlangsung selama tiga hari bermula hari ini sehingga Ahad itu akan berlangsung dari jam 2 petang hingga 7 malam.
Menampilkan barisan artis di bawah pengurusan NIPV Management iaitu Ihab Ismail, Azmir Ariff, Nabila serta Siti Sarah Ahmad Jamil.

Bukan sekadar sebuah hiburan, acara ini tampil sebagai pesta budaya berskala besar hujung tahun yang menghimpunkan elemen muzik, tarian, busana dan jiwa seni etnik Malaysia dalam satu pentas ikonik.
Menariknya, ia dianjurkan secara percuma, khas buat rakyat Malaysia dan pelancong yang ingin menyaksikan wajah sebenar budaya tempatan menjelang Tahun Melawat Malaysia.
Sebagai ikon Irama Malaysia, Noraniza turut mencuri perhatian apabila membuka pentas kepada komuniti serta penggiat seni budaya untuk berkarya dan beraksi bersama.
Inisiatif tersebut dilihat sebagai langkah berani dalam melahirkan pelapis seni warisan, sekali gus memastikan seni tradisi terus hidup dan tidak sekadar tinggal sebagai catatan sejarah.

“Irama Malaysia bukan sekadar nostalgia. Ia adalah identiti negara yang perlu terus dipersembahkan, difahami dan diwariskan,” katanya.
Disusun dengan lima acara utama yang padat dan berwarna-warni.
Antaranya ialah Pertandingan Pencarian Bakat Bintang Legasi Etnik Malaysia Peringkat Kebangsaan, yang menjadi medan paling dinanti bagi pencinta Irama Malaysia menyaksikan kelahiran bakat baharu.

Kemeriahan festival turut diserikan dengan Pertandingan Peragaan Busana Etnik Paling Glamour melibatkan peserta seawal usia empat hingga 15 tahun, sekali gus membuktikan warisan budaya mampu tampil segar, kreatif dan berkelas.
Usaha menyemai kecintaan terhadap budaya sejak usia muda diteruskan menerusi Program Mewarna Kanak-Kanak: Mengenali Pakaian Etnik Malaysia yang melibatkan kanak-kanak berusia empat hingga 12 tahun, selain Bengkel Tarian Warisan Malaysia Truly Asia yang membuka ruang pembelajaran secara langsung bersama penggiat seni berpengalaman.

Namun, acara yang paling mencuri tumpuan ialah Pertandingan Tarian Evolusi Etnik Rakyat Malaysia Peringkat Kebangsaan, yang menghimpunkan 10 kumpulan tarian terbaik dari seluruh negara ke pentas akhir.
Acara kemuncak ini bakal disempurnakan oleh Undang Luak Johol, Negeri Sembilan iaitu Yang Teramat Mulia Datuk Johan Pahlawan Lela Perkasa Sitiawan, Datuk Muhammed Abdullah, menjadikannya detik penuh simbolik dan berprestij.
Kehadiran baginda sekali gus menambah nilai adat, simbolik dan penghormatan terhadap warisan budaya yang diangkat sepanjang festival ini.
Menurut Noraniza, TERMA’25 dirangka bagi merapatkan jurang kefahaman masyarakat terhadap kepelbagaian budaya kaum di Malaysia merangkumi busana, muzik, tarian, nyanyian dialek serta elemen bahasa.

Setiap persembahan dipilih dengan teliti menggunakan lagu-lagu Irama Malaysia dan irama tempatan yang berakar kepada susur galur asal, bagi memastikan warisan budaya dipersembahkan secara tepat, beretika dan tidak disalah tafsir oleh pelancong tempatan mahupun antarabangsa.
Lebih daripada sebuah pertandingan, festival itu bersifat mendidik dan membimbing dengan penekanan terhadap konsep, disiplin serta kefahaman budaya.
Setiap penyertaan diterjemahkan secara kreatif oleh koreografer berpengalaman dari seluruh negara yang tetap berpegang kepada prinsip asal warisan sambil mengolah persembahan secara kontemporari dan berlapik.

Pendekatan ini memastikan evolusi seni berlaku secara bertanggungjawab dan berilmu, sekali gus melahirkan karya yang bukan sahaja menghibur, malah mendidik serta memperkukuh identiti nasional.
Dianjurkan oleh Persatuan Tatihseni Malaysia dengan sokongan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) serta kerjasama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
Orang ramai dijemput hadir ke Panggung Anniversari, Taman Tasik Perdana sepanjang tiga hari penganjuran festival ini secara percuma.
Program ini bukan sahaja sesuai sebagai platform pendidikan tidak formal buat generasi pelapis, malah sebagai aktiviti riadah hujung minggu bersama keluarga sambil menikmati suasana hijau dan nyaman di nadi rekreasi ibu kota.

