Persatuan Pentas Anak Seni Malaysia (PPASM) terus memperkukuh peranannya dalam memartabatkan warisan muzik berteraskan budaya tempatan menerusi penganjuran Pertandingan Nyanyian Borneo 2025, baru-baru ini.
Menurut Pengerusi PPASM, Jawed Khan, penganjuran pertandingan berkenaan bukan sekadar medan atau bakat nyanyian, sebaliknya satu gerakan signifikan dalam usaha memperkasa bakat muda di samping memelihara legasi kebudayaan yang kian berharga.
“Platform ini diwujudkan sebagai pengiktirafan kepada bakat-bakat penyanyi dari Borneo.
“Ia bukan sekadar persembahan hiburan, tetapi turut membawa misi memartabatkan identiti serta warisan budaya,” katanya.
Jawed turut menyifatkan sambutan yang diterima amat menggalakkan, malah kualiti peserta yang bertanding membuktikan kekuatan budaya tempatan masih berakar kukuh dalam jati diri generasi muda.
“Penyertaan yang berkualiti ini jelas menunjukkan warisan budaya Borneo terus hidup dan dihargai, bukan sahaja dalam kalangan masyarakat tempatan tetapi juga di perantauan,” ujarnya.
Selain memperkenalkan lagu-lagu Borneo kepada khalayak lebih luas, pertandingan berkenaan turut menjadi platform memperkasa jati diri bakat-bakat dari Sabah dan Sarawak meskipun mereka berada jauh dari tanah kelahiran.
“Ia bukan hanya tentang memelihara warisan muzik, malah membuka ruang kepada peserta menyerlahkan kemampuan artistik, kreativiti serta memperdalam penghargaan terhadap seni budaya tempatan,” tambahnya.
Berlangsung meriah di Dataran Merpati, Kolej Sultan Alaeddin Suleiman, Universiti Putra Malaysia (UPM) baru-baru ini, pertandingan itu menyaksikan seramai 18 peserta berentap di peringkat akhir.
Pentas berkenaan menjadi medan penting memperkenalkan lagu-lagu dalam bahasa etnik Borneo seperti Dusun, Kadazan, Iban, Bidayuh dan lain-lain kepada penonton daripada pelbagai lapisan masyarakat.

Peserta dari Sabah, Siti Rafidah Daud, berjaya mencuri perhatian juri dengan kehebatan vokalnya menerusi lagu bahasa Dusun berjudul Aada, sekali gus dinobatkan sebagai juara. Dia membawa pulang wang tunai RM1,000, sijil dan trofi.

Tempat kedua menjadi milik Harvard Sandar menerusi lagu Id Pagandadan, manakala Vannesa Anne Brown menduduki tempat ketiga dengan lagu Ati Nuan Ati Aku.
Kedua-duanya masing-masing menerima wang tunai RM500 dan RM300, beserta sijil dan trofi.
Pertandingan itu turut mendapat sokongan padu menerusi Geran Sokongan Sektor Kebudayaan (GSSK) di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC)

