SELEPAS 16 tahun mewarnai industri muzik, penyanyi dan komposer Kaka Azraff akhirnya menamatkan penantian peminat apabila melancarkan album sulung berjudul MPT, singkatan kepada perkataan eMPaTI.
Ia membawa maksud simbol keupayaan memahami perasaan dan pengalaman orang lain seolah-olah berada di tempat mereka.
Menurut Kaka, keseluruhan lagu dalam album itu lahir daripada pengalaman kolektif sepanjang tiga tahun dia memilih untuk berada jauh daripada sorotan utama industri.Â
Tempoh itu memberi ruang untuk dirinya menyerap pelbagai pengalaman, perbualan dan perkongsian daripada insan sekeliling, sekali gus menjadi sumber idea utama dalam membentuk identiti album ini.
Kesemua elemen tersebut menjadi teras kepada bunyi dan arah MPT, yang menampilkan enam buah lagu dengan naratif tersendiri iaitu Berubah, Cabar, Arguments, Bully, Takleh Usik dan Aku.Â

Dalam proses penghasilan, Kaka tidak meletakkan fokus kepada kesempurnaan teknikal semata-mata, sebaliknya mengutamakan kejujuran serta keaslian emosi yang ingin disampaikan kepada pendengar.
Album ini turut menyaksikan kolaborasi bersama dua penerbit berbakat, SonaOne dan Yonnyboii, yang berganding bahu menghasilkan melodi serta susunan muzik yang harmoni dengan naratif dan jiwa album.
Bagi Kaka, MPT bukan sebuah kemunculan semula, sebaliknya kesinambungan kepada perjalanan seni yang telah lama dilaluinya.Â
Ia merupakan satu fasa penyesuaian semula yang memberi makna kepada setiap pengalaman, hubungan serta ruang yang pernah ditempuhi sepanjang kerjaya.
Secara keseluruhan, MPT menandakan langkah ke hadapan bukan sahaja dari sudut muzik, malah dari segi kehidupan, mencerminkan kematangan serta perkembangan diri yang berlaku secara tenang dan berperingkat.
Album ini direalisasikan dengan usahasama pelbagai pihak serta sokongan Dana Kandungan Kreatif (DKK) daripada Kementerian Komunikasi melalui MyCreative Ventures, selain diedarkan oleh Universal Music Malaysia.
Album MPT dijadualkan dilancarkan pada penghujung bulan ini.

Penulis merupakan Pengarang URTV di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lebih 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal lain sejak tahun 2014.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan indsutri seni hiburan dalam dan luar negara.

