Sibuk di lokasi penggambaran, Nelissa Nizam tetap berikan cinta terhadap HER, The Series

Anna Mohamed
Anna Mohamed
Penulis merupakan Pengarang URTV di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lebih 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital. Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal lain sejak tahun 2014. Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan indsutri seni hiburan dalam dan luar negara.

Dari Penulis

INDUSTRI fesyen tempatan menyaksikan kemunculan sebuah jenama baharu, HER, The Series, yang memperkenalkan pendekatan segar dengan menggabungkan fesyen dan penceritaan sebagai teras utama jenama.

Diasaskan oleh pelakon dan pengarah kreatif Nelissa Nizam bersama pereka fesyen terkenal Sodiqin Shaz, jenama itu dibangunkan sebagai platform fesyen berkonsepkan siri episodik, di mana setiap koleksi dipersembahkan sebagai satu episod dan diterajui oleh seorang muse dengan naratif tersendiri.

Berbeza daripada jenama fesyen konvensional, HER, The Series menekankan idea fesyen bukan sekadar untuk digayakan, sebaliknya menjadi medium ekspresi, pengalaman dan penceritaan. 

Setiap episod memperkenalkan dunia emosi dan makna yang berbeza, sekali gus memberi nilai naratif kepada setiap rekaan.

Episod pertama berjudul Every Girl is an Actress menampilkan Nelissa sendiri sebagai muse sulung. 

Melalui episod ini, jenama tersebut mengangkat realiti wanita moden yang sering memegang pelbagai peranan dalam kehidupan peribadi, kerjaya dan emosi, serta meraikan keupayaan wanita untuk menjadi versatil dan tidak terikat pada satu identiti sahaja.

Dalam landskap fesyen yang lazimnya berfokus kepada trend dan estetika semata-mata, jenama ini tampil sebagai jenama yang memberi ruang kepada muse untuk bersuara. 

Setiap muse bukan sekadar wajah koleksi, malah turut berperanan sebagai pencerita yang menyampaikan emosi, perspektif dan mesej menerusi fesyen.

Pendekatan ini menjadikan HER, The Series sebagai jenama fesyen pertama di Malaysia yang memberi peluang kepada muse untuk mengekspresikan kreativiti dan pandangan peribadi mereka melalui pakaian, sekali gus menjadikan setiap koleksi sarat dengan makna dan tujuan.

Bagi Nelissa, penubuhan jenama ini juga bertujuan mencabar persepsi masyarakat yang sering mengaitkan individu dengan satu peranan atau gelaran sahaja. 

“Melalui platform ini, saya menggalakkan wanita untuk menerima kepelbagaian identiti serta mendefinisikan semula makna menjadi seorang muse, artis dan individu kreatif.

“Pemilihan warna merah pula melambangkan keberanian yang mahu dikeluarkan dalam diri.

“Lebih kurang seperti ‘woman empowerment’. Saya nak tonjolkan kekuatan yang ada dalam diri seorang wanita seperti saya,” katanya kepada URTV.

Sementara itu, Sodiqin Shaz melihat HER, The Series sebagai peluang untuk meneroka dimensi baharu dalam reka bentuk.

Dikenali dengan kepakaran dalam potongan kemas dan jahitan yang teliti, dia kini bereksperimen dengan pendekatan rekaan yang lebih beremosi, eksperimental serta dipengaruhi oleh pelbagai disiplin kreatif.

Gabungan visi kedua-dua pengasas ini menjadikan ia lebih daripada sekadar jenama pakaian.

“Saya dan Nelissa sudah lama bersahabat baik. Idea untuk nak hasilkan koleksi ini juga datang daripada Nelissa secara tiba-tiba.

“Cabaran daripada pihak saya bila nak hasilkan puluhan rekaan dan Alhamdulillah hanya sekitar tujuh rekaan sahaja yang terpilih.

“Buat masa ini kami mengeluarkan ukuran saiz daripada S hingga L.  Kami juga merancang untuk menghasilkan lebih banyak lagi pilihan saiz agar semua orang dapat menyarung jenama ini tanpa limitasi,” ulasnya.

Ia turut membuka perbincangan mengenai identiti, kewanitaan, ekspresi diri dan penceritaan dalam fesyen, selari dengan perkembangan era moden.

Sebelum pelancaran rasmi di Malaysia, HER, The Series telah mencipta pencapaian antarabangsa apabila membuat penampilan sulung di Bali Fashion Trend (BFT) 2025 yang berlangsung di Onyx Park Resort dari 19 hingga 22 Disember lalu.

BFT 2025 yang bertemakan “Beyond Beauty” memberi tumpuan kepada fesyen lestari, penceritaan budaya serta gabungan elemen warisan dan moden. 

Antara elemen utama yang diketengahkan ialah penggunaan bahan mesra alam, hasil kraftangan, motif tradisional dan siluet kontemporari untuk pasaran global.

Dalam konteks ini, HER, The Series tampil menonjol menerusi pendekatan konseptualnya yang menjadikan fesyen sebagai medium penceritaan episodik, di mana muse bukan sekadar memperaga rekaan, malah turut menyampaikan naratif dan ekspresi.

Respon positif daripada audiens antarabangsa meletakkan ia sebagai suara kreatif baharu dari Malaysia yang menghubungkan dunia fesyen, seni persembahan dan penceritaan secara menyeluruh.


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

Karyawan tuntut kerajaan ambil alih kutipan royalti, mahu tamatkan kemelut 2 dekad

PERSATUAN Artis Malaysia (Karyawan) secara rasmi menuntut Kerajaan Malaysia untuk campur tangan dan mengambil alih kawalan sepenuhnya ke atas...

More Articles Like This