PELAKON Nelissa Nizam, 27, menyangkal tanggapan segelintir pihak bahawa dia ‘anak emas’ pengarah Dr. Ahmad Idham.
Isu itu timbul selepas Nelissa atau Nelissa Edreena Nizam kerap terpilih membintangi naskhah di bawah arahannya.
Bagaimanapun, bagi wanita berusia 27 tahun ittu, ia berbalik kepada rezeki selain dia turut memberikan prestasi serta komitmen terhadap mana-mana pengarah yang pernah bekerja dengannya.
“Bagi saya tiada istilah anak emas. Tapi kalau orang cakap begitu nak buat macam mana lagi, saya tak boleh halang.
“Mungkin watak yang Ahmad Idham cari itu ada pada saya. Sebenarnya banyak projek Ahmad Idham yang saya tidak terlibat selain saya juga ada berlakon dengan pengarah lain.
“Mungkin dia selesa bekerja dengan orang yang dia kenal dan tahu kerja masing-masing dekat set.
“Saya pun senang sangat bekerja dengan dia. Memang sesiapa saja yang pernah bekerja dengan Ahmad Idham akan rasa begitu. Jadi, tak timbul soal ‘anak emas’ pun. Semua ini tentang kepercayaan, rezeki dan profesionalisme,” katanya kepada URTV.
Nelissa membuat penjelasan itu ketika ditemui pada sesi fotografi di APD Crew Circuit, MAEPS, Serdang, semalam.
Nelissa sudah berlakon dalam empat filem arahan Ahmad Idham iaitu Saka Perawan, Reza GTR, Sahak Gangster dan terkini Impak Maksima 2.
“Impak Maksima 1 sudah ada pengikut setia. Jadi semestinya harapan tinggi diletakkan untuk sambungannya. Kami semua dah beri yang terbaik.
“Semoga penonton suka dan terima usaha kami. Kami diberi latiahn sebulan untuk memandu kenderaan drift.
“Ada satu adegan, saya sendiri pandu kereta dengan laju. Walaupun saya agak takut memandu kereta dengan laju tapi saya cabar diri juga untuk filem ini.
“Alhamdulillah, bila tengok hasilnya, saya berpuas hati. Harapanya penonton filem ini nanti akan berpuas hati melihat lakonan saya dan pelakon lain,” ujarnya.
Filem genre aksi itu bakal ditayangkan pada 17 Julai ini turut menampilkan Zul Huzaimy, Datuk Seri Eizlan Yusof, Dynas Mokhtar, Arfie Shah, Muhsin Nadzli, Fad Bocey dan ramai lagi.

Penulis merupakan Pengarang URTV di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lebih 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal lain sejak tahun 2014.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan indsutri seni hiburan dalam dan luar negara.

