DUNIA seni tanah air hari ini diselubungi rasa hiba apabila pelakon dan penyanyi era 1980-an, Isma Aliff meninggal dunia pada pukul 8.30 pagi di kediamannya di Kampung Melayu Ampang, Selangor.
Berita sedih itu dimaklumkan oleh ahli keluarganya.
“Assalamualaikum. Innalillahiwainnalillahirajiun. Isma Alif atau Latiff telah menghembuskan nafasnya, kembali kepada penciptanya baru sekejap ini.
“Jenazahnya masih di rumah,” tulis kenyataan tersebut.
Adik Allahyarham yang dikenali sebagai Angah turut memaklumkan Isma atau nama sebenarnya Muhammad Latiff Ismail, 62, sudah lama berdepan masalah kesihatan, namun keadaannya dilaporkan semakin merosot sejak seminggu lalu.
Isma memulakan karier seninya sekitar tahun 80-an sebagai penyanyi,pelakon dan pengacara popular ketika era itu.
Allahyarham dikenali menerusi pelbagai drama, filem dan program hiburan, selain aktif sebagai pelawak serta pengacara yang menceriakan layar kaca dengan gaya bersahaja dan humor tersendiri.
Sepanjang kerjaya seninya, Allahyarham pernah membintangi beberapa karya terkenal antaranya filem Marah Marah Sayang, Mawar Mewar, Kembar Siam dan Sayang Ibu.
Allahyarham yang merupakan anak jati Kuala Lumpuri itu juga menghasilkan empat album iaitu Eksyen Saja, Dengar Tau, Kembara Duka serta Macam-Macam Ada.
Program realiti Maharaja Lawak Mega 2013 adalah penglibatan terakhirnya dalam arena hiburan menerusi kumpulan Osama bersama Allahyarham Mr. Os.
Arwah mendirikan rumah tangga dengan Norha Rafie. Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan dua orang cahaya mata.
Untuk rekod, sebelum ini Allahyarham pernah menerima rawatan di Hospital Ampang selepas mengalami jangkitan pada jantung dan paru-paru, sehingga ditidurkan pada 15 Disember 2023.
Pemergian Isma Aliff bukan sahaja satu kehilangan buat keluarga, malah meninggalkan kekosongan besar dalam dunia seni tanah air yang pernah disinari bakat dan senyumannya.

Penulis merupakan Pengarang URTV di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lebih 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal lain sejak tahun 2014.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan indsutri seni hiburan dalam dan luar negara.

