KEPUTUSAN tiada tindakan lanjut berhubung pendakwaan terhadap Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi merupakan kuasa Jabatan Peguam Negara (AGC) di bawah Perkara 145 Perlembagaan Persekutuan.
Pakar Perlembagaan yang juga Pensyarah Undang-Undang dan Polisi Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof Madya Dr Muhammad Fathi Yusof berkata, Perlembagaan memberi kuasa yang agak luas kepada Peguam Negara untuk memulakan sesuatu pendakwaan atau memberhentikannya.
Menurut Muhammad Fathi, kuasa itu dilaksanakan secara budi bicara dengan kata lain ruang untuk mempersoalkan tindakan Peguam Negara itu terlalu kecil.
“Ia menunjukkan seolah-olah mahkamah pun tak boleh mempersoal atau membatalkan keputusan Peguam negara kerana ia disebut sebagai kuasa budi bicara.
“Jadi prinsip ini sebenarnya menjadi satu prinsip yang dipertikaikan oleh banyak pihak kerana ia seolah0olah membuka ruang kepada salah guna kuasa,” katanya.
Sukar elak sentimen negatif
Mengulas lanjut, Muhammad Fathi menyifatkan sentimen negatif susulan keputusan AGC itu sukar dielakkan kerana kes itu telah pun sampai ke peringkat prima facie.
Baca artikel lain: AGC umum penamatan muktamad terhadap 47 pertuduhan Ahmad Zahid
Pada masa sama, kata beliau, proses tersebut juga berlaku selepas Ahmad Zahid telah pun memegang jawatan.
“Pendakwaan dibuat ketika beliau tidak ada jawatan sebagai anggota Kabinet.
“Jadi sentimen yang mengaitkan keputusan ini dengan jawatan pentadbiran dalam kerajaan juga suatu yang sukar dielakkan,” katanya.
Kelmarin, AGC memutuskan tiada tindakan lanjut akan diambil berhubung pertuduhan kesalahan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram berkaitan dana Yayasan Akalbudi melibatkan Ahmad Zahid.
Menurut AGC keputusan itu dibuat selepas mendapati bahawa keterangan yang ada tidak mencukupi untuk menyokong penerusan pendakwaan bagi kesemua pertuduhan tersebut.
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 4 September 2023 telah melepaskan tanpa membebaskan (DNAA) Ahmad Zahid daripada 47 pertuduhan melibatkan kesalahan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram berkaitan dana Yayasan Akalbudi.
Berikutan keputusan DNAA tersebut, siasatan lanjut dan terperinci telah dijalankan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Ia merangkumi aspek berkaitan sumber dana, kaedah perolehan dan penggunaannya termasuk perkara-perkara dibangkitkan melalui enam representasi yang dikemukakan kepada AGC selepas Ahmad Zahid dipanggil untuk membela diri.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

